Uskup AS bimbang peningkatan belia tidak beragama

Sinode para Uskup tahun hadapan yang bertemakan belia, harus meneliti masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum muda, termasuklah sikap acuh tak acuh dan sikap tidak percaya.

Jun 23, 2017

INDIANAPOLIS: Sinode para Uskup tahun hadapan yang bertemakan belia, harus meneliti masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum muda, termasuklah sikap acuh tak acuh dan sikap tidak percaya.

“Sinode ini sesungguhnya berlangsung pada masa kritikal,” ujar Kardinal Joseph Tobin dari Keuskupan Newmark kepada para Uskup/Agung Amerika.

Kardinal Tobin menyentuh tentang hal yang amat membimbangkan pada masa kini iaitu peningkatan jumlah “Tidak Ada” atau belia tanpa pegangan agama. Peningkatan belia tidak beragama adalah kebimbangan utama para Uskup sama seperti isu menolak ikatan perkahwinan di kalangan kaum muda.

Para Uskup Amerika membincangkan pelbagai perkara sempena persiapan sinode para Uskup tahun hadapan sempena pertemuan tahunan di Indianapolis pada 14-16 Jun lalu.

Antara agenda yang disampaikan pada pagi 14 Jun ialah ucapan daripada Uskup Agung Christophe Pierre, Nunsio Apostolik ke Amerika Syarikat kepada para Uskup di mana beliau menyeru “kerasulan misionari” dalam Gereja dan melangkah ke luar dari zon selesa.

Kemudian, Kardinal Tobin bersama Uskup Agung Charles Chaput dari Philadelphia, mengetuai perbincangan persiapan perhimpunan para uskup antarabangsa yang menumpukan kaum muda, iman dan pendalaman panggilan.

“Inilah masanya untuk belajar daripada kaum muda,” kata Kardinal Tobin. “Mereka juga menempuh banyak risiko seperti kita,” katanya lagi. Kardinal Tobin dan Uskup Agung Chaput menyeru kepada para Uskup Amerika untuk mempromosikan kaji selidik belia yang boleh dilayari di youth.synod2018.va.

Kaji selidik itu ditujukan kepada belia berusia 16-29 tahun, tidak kira seorang Katolik aktif atau “acuh tak acuh”. Maklum balas daripada mereka yang bekerja dengan belia seperti pelayanan belia juga amat penting.

Menurut laporan Penyelidikan Pew pada tahun 2015, 35 peratus daripada generasi Milenium (lahir 1981-1996) menulis dalam status agama sebagai “tidak ada.”

Namun, ada sekumpulan besar di kalangan kaum muda, termasuk berminat dengan Gereja pada musim-musim liturgi seperti Adven dan Pra- Paskah hasil dari programprogram penjangkauan anjuran Paroki.--CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments