Bagaimana menyembuhkan luka batin, kebencian?

Seorang pelajar bertanya kepada saya bagaimana mengampuni setelah mengalami luka batin yang cukup mendalam bahkan menyimpan kebencian dan trauma.

Apr 26, 2024

Luka batin dan kemarahan yang lama terpendam tidak mudah disembuhkan tetapi ia tidak mustahil untuk sembuh dengan bantuan kuasa Tuhan.


Seorang pelajar bertanya kepada saya bagaimana mengampuni setelah mengalami luka batin yang cukup mendalam bahkan menyimpan kebencian dan trauma. Apa yang seharusnya dia lakukan supaya ada kedamaian dan ketenangan di hati?

Untuk menyembuhkan luka batin mendalam, kita dapat meminta bantuan Tuhan, namun Tuhan menantikan keterbukaan kita pada-Nya.

Proses penyembuhan memang lama dan paling utama, kita harus bersabar untuk berpasrah.

Bergantung berapa dalam luka batin itu. Semakin dalam, tentu semakin memerlukan kesetiaan.

Luka batin tertentu memerlukan penyembuhan yang lebih menyeluruh, bukan hanya fikiran, tetapi juga hati.

Kadang-kadang secara intelektual, kita sudah ingin mengampuni, tetapi perasaan hati kita belum bersedia, belum aman di mana rasa sakit dan benci tiba-tiba muncul lagi.

Bahkan orang yang berfikir sudah sembuh, tiba-tiba bergelojak lagi bila bertemu atau mengalami pengalaman yang menyakitkan hati.
Jadi nyatalah bahawa penyembuhan memerlukan proses yang lebih panjang dan kompleks.

Kitab Suci sendiri banyak berkisah tentang pengalaman luka dan bagaimana orang dapatsembuh ketika memandang hidup dari kacamata Tuhan. Misalnya kisah Yosef, yang dijual oleh saudara-saudaranya ke pedagang hamba. Hidupnya merana, namun tangan Tuhan sentiasa menyertainya sehingga dia dapat menjadi bendahara Kerajaan Mesir.

Pedih sekali pengalaman Yosef, lebih-lebih lagi ketika melihat saudara-saudaranya datang kepadanya untuk membeli gandum, semasa bencana kelaparan melanda.

Yosef bergantung pada Tuhan dalam deritanya, dan percaya bahawa Tuhan memelihara hidupnya selama ini.

Dia mendapati bahawa Tuhan mempunyai rencana yang lebih besar, yang melampaui peristiwa yang menyakitkan hatinya.

Dengan menyatukan diri dengan kasih Tuhan, dia semakin dapat disembuhkan dan dapat mengampuni saudara-saudaranya dengan ikhlas.

Berikutnya Daud. Pengalaman kelukaannya banyak digambarkan dalam Mazmur: “Tuhan itu dekat kepada orang-orang yang patah hati, dan Dia menyelamatkan orang-orang yang remuk jiwanya” (Mzm. 34:19).

Bukan hanya dekat, tetapi Tuhan juga menyelamatkan. “Dia menyembuhkan orang-orang yang patah hati dan membalut luka-luka mereka” (Mzm. 147:3).

Daud juga hampir membalas dendam kesumatnya, namun niat itu dihakisnya kerana melihat hidupnya dari kacamata Tuhan.

Dalam pengalamannya, Daud terluka oleh Saul, raja yang pernah diabdinya dulu, tetapi kemudiannya berusaha membunuhnya.

Dalam pada itu, Daud juga pernah terluka kerana dosanya sendiri. Dia memperisterikan Batseba, isteri kepada Uria yang dibunuh oleh Daud. Luka kerana dosa membuatkan Daud hancur. Tetapi Daud bertobat, memohon keampunan dan keterbukaan hatinya menyebabkan dia mengalami penyembuhan Tuhan.

Akhirnya kita harus lihat Yesus sendiri, yang menawarkan penyembuhan dari hati-Nya.

“Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu,” (Mat. 11:28). Yesus-lah penyembuh sejati.

Di kayu salib Dia dilukai secara amat mengerikan, tetapi Dia dapat melampaui semuanya itu dan mengalirkan rahmat pengampunan.
Jadi bagaimana agar kita dapat sembuh dari luka, trauma dan kebencian?

Kita harus pertama-tama percaya kepada Tuhan melalui Yesus. Datanglah kepada-Nya. Bukalah hati kita yang sakit di depan salib, dan sedarilah bahawa anda terlebih dahulu dikasihi oleh Yesus.

Ingatlah bahawa Yesus mengundang kita datang. Dia juga yang mencari orang yang sakit dan hilang. Dia memahami dan merangkul setiap hati yang patah ini dengan kasih-Nya. Lakukan banyak latihan rohani dalam meditasi di depan salib.

Sambil membayangkan gerakan Yesus yang penuh kasih, kita menimba kekuatan dari Dia. Dengan merasakan rangkulan kasih-Ny, dari sanalah perlahan-lahan mengalir aliran air hidup, yang memimpin kita pada pengampunan sejati. — Fr Gregorius Hertanto, hidupkatolik.com

Total Comments:0

Name
Email
Comments