Kelompok doa komuniti Emaus perkasakan iman pada musim pandemik

Komuniti Emmaus Servant di Paroki Gereja Blessed Sacrament tetap setia dan komited terhadap misi "Mengasihi dan Melayani" mereka.

Sep 11, 2021


KUCHING:
Komuniti Emmaus Servant di Paroki Gereja Blessed Sacrament tetap setia dan komited terhadap misi "Mengasihi dan Melayani" mereka.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai kesukaran disebabkan pandemik COVID-19 sejak Mac 2020, pertemuan doa mingguan komuniti Emmaus tetap disambung semula dalam beberapa bulan terakhir tahun 2020, melalui platform Zoom.

Sesi ‘berdoa’ dalam talian selepas pertemuan ini, dimulakan beberapa bulan yang lalu, dengan ‘malam pelayanan’ yang diadakan pada bulan April yang lalu.

Sudah menjadi kebiasaan bagi Komuniti untuk mengundang rektor paroki selaku Ketua Gembala Komuniti Emmaus, untuk memberi renungan pada pertemuan-pertemuan doa.

Komuniti Emmaus berterima kasih kepada gembala barunya, Fr Patrick Heng yang selama tiga bulan ini sangat komited dalam penyertaannya bersama komuniti tersebut dengan menyampaikan beberapa siri refleksi menarik tentang Orang Farisi dan Pemungut Cukai; mengenai Sto Yosef sempena Tahun Sto Yosef serta pencerahan tentang Surat Apostolik Sri Paus Fransiskus, Patris Corde (Dengan Hati Seorang Bapa).

Fr Patrick menjelaskan bahawa “Tuhan tidak menghakimi atau mendengar mereka yang dapat mengucapkan doa mereka dengan baik.”

Paderi itu menerangkan bahawa, “Tuhan mendengar dan menjawab mereka yang berdoa dengan tulus dari hati, bahkan Dia juga mendengar doa yang paling sederhana atau ringkas. Doa bukan sahaja diucapkan di Gereja tetapi juga di luar kawasan Gereja dan di mana sahaja.”

Fr Patrick mengatakan, “Doa adalah tanggapan manusia kepada Tuhan. Doa adalah gerakan iman yang meneguhkan hubungan dengan Bapa di Syurga. Doa yang jujur dari hati boleh menjadi doa yang paling mendalam.”

Total Comments:0

Name
Email
Comments