Kesatuan, harapan dan Salib

Kunjungan apostolik Bapa Suci Fransiskus ke Jakarta, Timor Leste, Papua New Guinea dan Singapura, Sept 2-13, 2024

Apr 26, 2024

Umat Katolik di Jakarta merayakan vigil Paskah pada Mac 30 lalu. (Gambar: Media Vatikan)


TAKHTA SUCI: Pejabat Akhbar Takhta Suci mengumumkan pada April 12 lalu bahawa Sri Paus Fransiskus akan melawat tiga negara di Asia dan satu di Oceania pada awal September. Bapa Suci dijadualkan berlepas dari Vatikan pada September 2 dan dijangka kembali ke Roma pada September 13, 2024.

Sri Paus Fransiskus melakukan perjalanan pertama ke Jakarta, ibu negara Indonesia, di mana Bapa Suci akan mendarat pada September 3 hingga 6.

Kemudian, Uskup Roma itu akan terbang ke timur untuk melawat Port Moresby, ibu negara Papua New Guinea dan Vanimo pada September 6-9.

Perhentian seterusnya ialah Dili, ibu negara Timor-Leste, pada September 9-11.

Dari sana, Bapa Suci akan ke Singapura untuk lawatan tiga hari pada September 11-13.

Dua orang kardinal iaitu Kardinal Suharyo dari Keuskupan Agung Jakarta dan Kardinal William Goh dari Keuskupan Agung Singapura memberikan kenyataan sukacita serta harapan mereka dalam menanti kunjungan apostolik Sri Paus Fransiskus.

Komuniti Kristian dan Islam teruja nanti kedatangan Sri Paus Fransiskus
Kardinal Suharyo menyatakan bukan sahaja masyarakat Katolik sangat bersemangat untuk menerima kunjungan Sri Paus Fransiskus tetapi Imam Besar Masjid Negara Istiqlal adalah antara mereka yang pertama mengumumkan lawatan kedatangan Sri Paus Fransiksus ke Indonesia, beberapa minggu sebelum pengumuman rasmi Vatikan.

Prelatus itu yang ditemubual oleh media Vatikan mengatakan kehadiran fizikal Sri Paus Fransiskus adalah sangat penting dalam meneguhkan iman Katolik komuniti Kristian di Indonesia dan mengajak umat agar mendalami pengetahuan tentang ajaran-ajaran Sri Paus Fransiskus melalui surat- surat Ensikliknya seperti Evangelii Gaudium, Laudato Si’ dan Fratelli Tutti.

Suharyo berkata dua pesan penting Sri Paus sangat berkait rapat dalam konteks Indonesia ialah mengenai tanggungjawab manusia untuk melindungi alam sekitar dalam ensiklik Laudato Si’ dan tentang kepentingan mengekalkan persaudaraan seperti yang dinyatakan dalam Fratelli tutti lebih-lebih lagi Indonesia merupakan negara berpenduduk penganut Islam yang teramai di dunia.

Kardinal Suharyo Hardjoatmodjo yang juga adalah Uskup Agung Jakarta dan presiden Konferensi para Uskup Katolik Indonesia, turut menyatakan kepentingan membina toleransi agama, keamanan, dan perpaduan — khususnya dalam kalangan penganut Kristian dan Islam di Indonesia.

“Masjid negara, yang dipanggil Istiqlal, bermaksud kebebasan, terletak betul-betul di hadapan katedral Katolik di Jakarta. Masjid negara ini sengaja dibina di tapak ini sebagai simbol keharmonian.”

Kardinal itu percaya lawatan Sri Paus Fransiskus ke Indonesia akan membawa “pesan keamanan, keadilan sosial, kebebasan beragama dan menjadi kunci dalam mengukuhkan hubungan dan dialog antara Katolik dan Islam.

Uskup Petrus Canisius Mandagi dari Merauke, Papua Selatan berkata, “Semoga dengan kunjungan Sri Paus ke empat negara ini, umat Katolik tempatan akan lebih berani menyuarakan kebenaran serta menjadi teladan bagi penganut agama lain, saling berdialog dan menerima perbezaan seperti yang sentiasa ditekankan oleh Bapa Suci Fransiskus, ” katanya kepada media Vatikan.

Sri Paus Fransiskus akan menjadi Bapa Suci ketiga yang mengunjungi Indonesia. Dua Sri Paus sebelumnya adalah Sri Paus Paulus VI (Disember 3, 1970) dan Sri Paus Santo Yohanes Paulus II (Oktober 8-12, 1989).

Ini adalah kunjungan yang bakal mencatat satu lagi sejarah penting mengenang hubungan kedua-dua negara yang terjalin sudah panjang. Indonesia dan Takhta Suci sudah menjalin hubungan sejak tahun 1947.

Kedatangan Sri Paus Fransiskus ke Singapura akan perbaharui iman warga Katolik tempatan
Untuk membantu umat Katolik Singapura untuk mempersiapkan rohani “untuk bertemu Yesus melalui lawatan pastoral Sri Paus Fransiskus, Keuskupan Agung Singapura telah melancarkan laman web khusus yang mengandungi doa, sumber dalam talian dan maklumat terkini kedatangan Bapa Suci ke republik tersebut pada bulan September.

Laman web itu juga memperkenalkan tema pilihan keuskupan agung iaitu “Perpaduan, Harapan dan Salib” sebagai meraikan peristiwa perjalanan apostolik Bapa Suci 2024.

Kardinal Goh menggalakkan warga Katolik Singapura untuk bersatu dan berdoa dalam menanti lawatan Bapa Suci pada bulan September ini.

“Marilah kita, sebagai sebuah komuniti, berdoa untuk kesihatan dan keselamatan Bapa Suci dan meminta Tuhan untuk memberikan kita lawatan yang benar-benar bermakna dan penuh rahmat,” katanya.

Goh menyatakan bahawa Gereja di Singapura kelihatan bersemangat kerana “begitu banyak Misa, pembaptisan dan Krisma” tetapi ia tetap menghadapi cabaran, termasuk amalan kepercayaan yang merosot di kalangan rakyat Singapura tempatan.

“Hanya separuh daripada penganut Katolik datang ke Gereja. Terima kasih kepada migran yang memenuhi Gereja di sini,” katanya. Sehingga kini, terdapat kira-kira 395,000 penganut Katolik yang tinggal di republik itu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik dan budaya.

Misa Kudus di sini kebanyakannya dirayakan dalam bahasa Inggeris tetapi juga turut menyediakan bahasa Mandarin, Tamil dan bahasa Asia Tenggara atau Eropah yang lain untuk komuniti tempatan dan ekspatriat.

Gereja Katolik di Singapura agak muda, oleh itu, Kardinal Goh berharap lawatan Sri Paus Fransiskus akan merangsang pembaharuan dan pengukuhan iman, pertobatan dan semangat menyebarkan Khabar Gembira di kalangan komuniti Katolik Singapura.

Kali terakhir dan satu-satunya kunjungan Sri Paus ke Singapura ialah pada 1986 apabila Sri Paus Santo Paulus II singgah lima jam di negara itu dan merayakan Misa bersama ribuan orang di stadium nasional. — CNA/media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments