Malaysia yang bersatu dan berdaya tahan

Hari Kebangsaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang mengajak rakyat Malaysia agar mengingati tarikh-tarikh penting kebangsaan yang menyatukan semua bangsa, meskipun dalam suasana suram pandemik Covid-19.

Sep 03, 2021

Hari Kebangsaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang mengajak rakyat Malaysia agar mengingati tarikh-tarikh penting kebangsaan yang menyatukan semua bangsa, meskipun dalam suasana suram pandemik Covid-19.

Kenyataan yang dikeluarkan pada 30 Ogos 2021 itu mengatakan meskipun Covid-19 telah melanda negara ini hampir 18 bulan namun rakyat Malaysia tetap berdiri teguh dan bekerjasama.

“Covid-19 telah mendekatkan kita dalam semua perbezaan untuk menanggung kesakitan dan kerugian sesama. Kita sama-sama berdiri dengan petugas hadapan yang telah meletakkan diri mereka di barisan hadapan demi menghadapi cabaran-cabaran getir. Ramai yang lain juga bekerja tanpa lelah untuk memberi kelegaan dan keselesaan kepada mereka yang memerlukan,” ujar CFM seraya mengucapkan syukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah berkorban pada masa yang kritikal ini.

“Mengawal penyebaran virus yang mematikan harus menjadi keutamaan nasional, di samping mengimbangi kesan yang ditimbulkan oleh virus ini terhadap ekonomi kita secara keseluruhan, bahkan terhadap kehidupan peribadi ramai orang. Kita harus komited untuk berwaspada dan bertahan terhadap kesejahteraan umum semua orang di negara kita. Usaha untuk memvaksin seluruh penduduk mesti disokong dengan bersungguh-sungguh,” tegas CFM.

Kenyataan yang ditandatangani oleh Pengerusi CFM, Uskup Agung Melter Tais dan Naib-naib Pengerusi iaitu Uskup Agung Simon Poh, Cor Episcopa Philip Thomas dan Dr Eu Hong Seng, juga berbangga dengan orangorang Kristian yang telah bekerjasama dengan pelbagai penganut agama lain dan organisasi sekular, untuk memberikan bantuan, baik dalam bentuk dan kewangan, untuk mengurangkan beban yang dihadapi oleh sesama rakyat Malaysia kita pada tempoh yang belum pernah terjadi sebelum ini.

“Sebagai Gereja, marilah kita terus memperluas kasih Tuhan, terutama kepada mereka yang kurang bernasib baik, yang rapuh, migran, di kawasan dan di tengah-tengah masyarakat di mana kita berada (Yakobus 1:27; Markus 12: 30- 31),” seru CFM.

“Kami juga mengenang ramai orang yang kehilangan orang tersayang dan terutama anak-anak yang tiba-tiba kehilangan kedua ibu bapa mereka. Marilah kita teruskan dengan berdoa peribadi dan dalam komuniti kepada Tuhan yang Maha Esa agar Dia dapat campur tangan dan berbelas kasihan untuk meringankan penderitaan orang-orang yang terkesan dengan pandemik ini, semoga Dia memberkati kita dengan kesembuhan dan mengembalikan kehidupan normal dalam rutin kehidupan kita.”

CFM mengajak umat untuk terus mengangkat doa-doa kita untuk para pemimpin nasional, termasuk Perdana Menteri baharu semua anggota kesihatan, dan agensiagensi kerajaan, agar mereka semua dibimbing dan dilindungi oleh Tuhan.

Total Comments:0

Name
Email
Comments