Menjadi ‘barisan hadapan’ membantu yang memerlukan

Conversation Hour, sebuah siaran langsung dalam talian yang memaparkan beberapa orang paderi, religius dan umat awam, membicarakan beberapa siri topik rohani, setia bersiaran sejak tahun lalu, untuk memantapkan iman Katolik khususnya pada masa pandemik ini.

Sep 11, 2021


KUALA LUMPUR:
Conversation Hour, sebuah siaran langsung dalam talian yang memaparkan beberapa orang paderi, religius dan umat awam, membicarakan beberapa siri topik rohani, setia bersiaran sejak tahun lalu, untuk memantapkan iman Katolik khususnya pada masa pandemik ini.

Bermula bulan Julai lalu, Conversation Hour Edisi Bahasa Malaysia membicarakan tentang siri perumpamaan-perumpamaan yang digunakan Yesus dalam Injil.

Pada 5 September, beberapa orang panelis dijemput untuk membincangkan "Perumpamaan tentang Orang Samaria yang Baik Hati" dalam Injil Lukas 10:30-37.

Para panelis jemputan dalam siri ini ialah Fr Valentine Gompok OFM, Sdri Jessica dari Kuching Sarawak dan Sdra Walton yang berasal dari Inanam Sabah dan merupakan pensyarah kanan di Kolej Antarabangsa INTI, Seremban dan Sdr Gabriel dari Beaufort Sabah, yang kini melayani di Gereja Good Shepherd, Setapak, bertindak sebagai moderator.

Fr Valentine memberikan perkongsiannya bahawa teladan Orang Samaria yang baik hati, harus menjadi inspirasi dalam bagi sikap orang beriman.

Katanya, perumpamaan itu mendorong umat agar “dekat” kepada saudara dan saudarinya yang menderita tanpa mengira latar belakang, agama dan budaya.

Sdri Jessica pula menyatakan, perumpamaan dalam Injil Lukas 10:30-37 itu merupakan “panggilan untuk bertindak”. Katanya, kita perlu bertindak proaktif membahagikan kasih Tuhan dan kita akan memperoleh suka cita.

“Pada zaman ini,” kata Jessica, “ramai orang yang terkapar di pinggir jalan” kerana pandemik. Sangat diperlukan “Orang Samaria Yang Baik hati” pada masa ini, yang berani mahu dan rela menolong dengan hati dan kasih.

“Bukan sekadar melihat atau melintas sebaliknya berani bertindak menghulurkan tangan.”

Melalui pengalamannya, Sdra Walton berhadapan dengan situasi xenofobia dan prejudis terutama ketika beliau bersama dengan para pelajar dari China. Menurut Walton, diskriminasi terhadap orang China tercetus kerana mereka dianggap pembawa coronavirus.

Sdra Walton mengatakan walaupun beliau memahami timbulnya prejudis itu namun berharap, sikap itu dapat dilenyapkan dengan memilih berbelas kasihan dan prihatin.

Menurut Sdra Walton, ramai yang prihatin terhadap sesama misalnya semasa kempen bendera putih, ada di kalangan pelajar yang mahu membantu tetapi kekurangan material.

Bagi Walton, meskipun tidak mampu, kita masih dapat menggunakan kaedah lain misalnya menggunakan media sosial bagi mengajak mereka yang berkemampuan untuk membantu orang-orang yang memerlukan.

Mula bersiaran dalam talian pada 7 Jun 2020, Conversation Hour Edisi Bahasa Malaysia telah membicarakan banyak topik menarik setiap malam Ahad, melalui platform Facebook Conversation Hour.

Total Comments:0

Name
Email
Comments