Semua kasih karunia-Nya yang mulia dikaruniakan-Nya kepada kita

Sr Olga Mary James FSIC, berasal dari Kg Muhibbah, Keningau. Beliau melafazkan kaul terakhir pada 29 Jun 2000 dan pada tahun 2020, beliau menyambut ulang tahun ke25 sebagai religius.

Apr 24, 2021

Sr Olga Mary James FSIC, berasal  dari Kg Muhibbah, Keningau. Beliau melafazkan kaul terakhir pada  29 Jun 2000 dan pada tahun 2020, beliau menyambut ulang tahun ke25 sebagai religius. 

Mengapa beliau tertarik dengan kehidupan membiara? Ikuti perkongsian Sr Olga di sini:

Saya adalah merupakan anak kedua  dalam sebelas orang adik-beradik yang  terdiri dari enam orang lelaki dan lima  orang perempuan. Semunya sudah berumahtangga, dua dari kami memilih hidup  kebaktian dan adik lelaki yang baharu ditahbis pada bulan Februari lalu. 

Saya percaya banyak perkongsian yang  telah anda baca atau dengar. Ya sesungguhnya, tidak dinafikan banyak pergelutan  dalam diri apabila membuat keputusan untuk memilih hidup religius.

Namun, pengalaman saya sendiri, pergelutan itu berakhir apabila saya pasti dan  yakin dengan pilihan saya. Semua keresahan dan ketakutan diganti dengan rasa  damai. 

Damai itulah yang mengiringi perjalanan  awal mula saya menlangkahkan kaki memulakan pembentukan saya sebagai seorang  biarawati. Sepanjang pembentukan yang  saya lalui bukanlah tidak ada cabaran namun kuncinya adalah DAMAI yang seringkali saya temui di kedalaman lubuk hati ini,  sehingga saya pasti dan yakin tentang kehadiran Tuhan yang sentiasa menyertai dan  memberikan kekuatan dalam mengharungi  segala cabaran yang saya lalui. kerana saya  percaya di mana ada TUHAN di situ ada  DAMAI.

Selepas pembentukan dan melafazkan  kaul pertama sehinggalah pada hari ini tanpa disedari genapnya 25 tahun saya sebagai  seorang biarawati. Secara peribadi 25 tahun  bukanlah suatu jangkamasa yang panjang.  Namun dalam melewati hari-hari sehingga  hari ini, saya tidak menafikan bahawa ada  jatuh bangunnya, ada masanya jatuh ke  lembah yang curam sehingga rasanya amat  sukar untuk bangkit semula. Tetapi dengan  yakin kepada Tuhan, memberikan saya  kekuatan untuk bangkit semula dan memulakan perjalanan saya. 

Pada setiap kelemahan dan kegagalan  yang saya alami, saya seringkali teringat  akan kata-kata Santo Fransiskus dari Asissi  yang mengatakan, “Let us begin again, For  until now, we have done little or nothing.”

Justeru setiap hari yang baharu, untuk  memulakan lagi panggilan hidup saya sebagai seorang biarawati. 

Sesungguhnya, segala peristiwa sedih,  menghampakan dan melemahkan, saya  bersyukur kepada Tuhan kerana peristiwa  ini telah mendewasakan diri saya untuk  lebih memahami bagaimana Tuhan bekerja  dalam kehidupan saya,memberi kekuatan dan ketabahan untuk saya meneruskan hidup dengan penuh pengharapan dan  iman.

Satu hal yang sangat saya hargai dan teramat bersyukur kepada Tuhan atas anugerah hidup membiara ini adalah peluang  istimewa diberikan-Nya untuk tinggal dan  hidup nyata bersama-Nya yang merupakan  Sakramen Mahakudus yang terdapat dalam  tabernakel di ruang bilik doa setiap konven. Hidup sebagai manusia yang punya  kelemahan setiap kali memasuki bilik doa  ini, saya dikuatkan dengan suatu pengharapan untuk meneruskan hidup religius ini. 

Kehadiran Tuhan yang nyata dalam  Sakramen Mahakudus ini juga mendorong  saya untuk belajar lebih banyak bersabar  dalam apa pun situasi kehidupan sama ada  secara peribadi, dalam hidup berkomuniti  dalam pelayanan dan dengan sesama. 

Saya juga pasti bahawa perjalanan saya  seterusnya selepas ini tidak akan selalu  rata, justeru itu saya mohon doa dari kalian  semua agar saya tetap kuat menghadapi  pelbagai rintangan dan halangan.

Di kesempatan ini, saya mahu berterimakasih kepada semua para Sisters yang  membimbing saya ketika berada dalam  pembentukan religius, semua yang telah  memberi sokongan untuk hidup dalam  hidup membiara ini dan kepada kedua ibu  bapa saya walaupun mereka telah pergi  dari dunia ini, kerana atas doa, kasih dan  pengertian merekalah juga yang memberikan kekuatan bagi saya untuk meneruskan  pembentukan seterusnya hidup religius  saya. 

Tidak lupa juga buat semua abang mahupun adik-adik, saudara-mara dan temanteman yang sentiasa berjalan bersama saya  di dalam doa.

Total Comments:0

Name
Email
Comments