Siapa yang ada di dalam Kristus, dia adalah ciptaan baharu

Seramai 450 orang peserta dari Malaysia dan luar negara telah menyertai seminar yang diadakan pada setiap malam Rabu dan Ahad.

Sep 03, 2021


KOTA KINABALU:
“Bila pandemik ini akan berakhir?” persoalan yang sering dipertanyakan pada hari ini. Pada 4-25 Ogos lalu, Kovenan Komuniti Light of Jesus Christ telah mengadakan Seminar Hidup Baru dalam Roh melalui platform Zoom.

Seramai 450 orang peserta dari Malaysia dan luar negara telah menyertai seminar yang diadakan pada setiap malam Rabu dan Ahad. Ia diisi dengan sesi pujian dan penyembahan, kesaksian dan sesi-sesi tentang Ketuhanan Yesus dalam kehidupan kita, cinta kasih Tuhan, penyelamatan Tuhan terhadap manusia, hidup baharu dalam Roh dan pembaptisan Roh Kudus.

Pada akhir seminar, para peserta diteguhkan dalam sesi “Bertumbuh dan Ditransformasi” yang menggalakkan mereka untuk menjalani kehidupan yang berpandu kepada Roh Kudus dan disemarakkan oleh Sakramen-sakramen Gereja. Seminar maya ini diakhiri dengan Perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Father Paul Lo, rektor Katedral Sacred Heart.

Dalam homilinya, Fr Paul menekankan kepentingan Roh Kudus dalam kehidupan umat. Paderi itu mengingatkan para peserta agar tidak bersikap seperti orang Farisi dan guru-guru Taurat yang taat kepada perintah Tuhan tetapi hati mereka tertutup terhadap kasih Tuhan.

“Orang Farisi dan guru-guru Taurat adalah orang-orang alim. Mereka bukan orang yang jahat cuma mereka terlalu mementingkan peraturan dari perintah kasih Tuhan. Dengan menutup pintu hati kepada Tuhan, mustahil kita dapat diubah dan ditransformasi. Oleh itu, kita harus taat kepada perintah-perintah Tuhan dan pada masa yang sama, membenarkan kasih Tuhan menyentuh hati kita, agar kita juga dapat menyebarkan belas kasihan Tuhan kepada orang lain,” pesan Fr Paul.

Total Comments:0

Name
Email
Comments