Yesus, ‘Pokok kehidupan’ perpaduan bangsa dan budaya

Pada 9-10 Jun lalu, Gereja St. Mark telah menganjurkan sambutan perayaan dua dalam satu iaitu Pesta Kaamatan dan Gawai.

Jul 06, 2018

SANDAKAN: Pada 9-10 Jun lalu, Gereja St. Mark telah menganjurkan sambutan perayaan dua dalam satu iaitu Pesta Kaamatan dan Gawai.

Sambutan dan sokongan daripada umat Paroki Katedral St. Mary, Sandakan, khususnya umat Gereja St. Mark amatlah menggalakkan. Perayaan Kaamatan-Gawai ini dimulakan dengan aktiviti sukaneka pada 9 Jun. Sukaneka ini diadakan untuk mengeratkan lagi semangat perpaduan antara umat.

Sebelum sukaneka dimulakan, ia diawali dengan doa oleh Sdra Dimeh Koyopo selaku Pengerusi Majlis Pastoral Umat Katolik Gereja St. Mark.

Ia disusuli sesi pemanasan badan dilakukan yang dikendalikan oleh Kerasulan Belia Paroki-(Sub) St. Mark-St. Peter.

Pelbagai aktiviti sukaneka yang dipertandingkan antaranya tarik tali, melastik, mengupas buah pinang dan banyak lagi.

Pada 10 Jun 2018, acara kemuncak Pesta Kaamatan-Gawai dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Father David A. Garaman, Paderi Paroki Katedral St. Mary, Sandakan. Dalam homilinya, Fr David menekankan tema “kesatuan”. Katanya, “Semasa kita merayakan Misa Kudus mahupun merayakan sebuah perayaan kebudayaan seperti Pesta Kaamatan dan Gawai, maka kita adalah saudara-saudari Yesus sendiri.

“Inilah yang dinyatakan oleh Yesus iaitu kesatuan di dalam gereja. Ini juga sesuai dengan tema perayaan Pesta Kaamatan-Gawai kita pada tahun ini iaitu Gereja asas perpaduan pelbagai budaya berpusatkan Kristus.”

Fr David juga menyeru umat untuk melihat Yesus sebagai sumber perpaduan segala budaya dan bangsa yang ada dalam gereja, dan menghidupi kesatuan itu, seperti Bapa dan Yesus yang adalah Satu.

Di samping itu, Paderi itu juga membawa semua umat untuk merenung bahawa merayakan perayaan di gereja bukan kerana “siok-siok” sahaja tetapi kerana meraikan Yesus yang adalah Sumber kesatuan dan Roh- Nya sentiasa hadir di dalam gereja. “Gereja adalah untuk semua — inilah asas perpaduan,” ujar Fr David.

Fr David menggalakkan umat agar sentiasa mengutamakan doa yang amat diperlukan dalam menjalani kehidupan sebagai pengikut Yesus setiap hari. Katanya, doa juga dapat menjadikan kita sebagai pengikut Yesus sentiasa bersukacita dalam mewartakan kasih Tuhan yang menyelamatkan semua orang. — Fennexlee Edesius Mejeh

Total Comments:0

Name
Email
Comments