Pikullah salib dan berjalan dengan mereka yang menderita
Memikul salib bukan setakat memikul penderitaan peribadi - ini bermakna melangkah bersama mereka yang menderita, tulis Sri Paus Fransiskus pada permulaan minggu Suci.
Apr 25, 2025

TAKHTA SUCI: Memikul salib bukan setakat memikul penderitaan peribadi - ini bermakna melangkah bersama mereka yang menderita, tulis Sri Paus Fransiskus pada permulaan minggu Suci.
“Memikul salib Kristus bukan tindakan yang sia-sia,” tulisnya dalam homili Misa Hari Minggu Palma di Dataran Sto Petrus, April 13. “Memikul salib ialah cara yang paling konkrit bagi kita untuk berbahagi dalam kasih penebusan-Nya.”
Sri Paus, yang masih dalam pemulihan akibat jangkitan pernafasan, hanya muncul sebentar di dataran pada akhir Misa, namun homilinya dibacakan oleh Kardinal Leonardo Sandri dari Argentina, wakil ketua Dewan Kardinal, yang juga pemimpin Misa Kudus.
“Pada Hari Minggu Palma, kita mengingati orang ramai yang menyambut Yesus dengan sukacita kegembiraan ketika Dia memasuki Yerusalem, dan kemudian, beberapa hari kemudian, Yesus akan meninggalkan kota itu dengan kutukan, menanggung salib di jalan penderitaan dan kesedihan,” ujar Kardinal Leonardo yang membaca homili Sri Paus Fransiskus.
Teks homili Sri Paus mengajak para hadirin untuk merenung tentang seorang individu bermana Simon dari Kirene, yang dipaksa oleh tentera Roma untuk memikul salib Yesus.
“Salib Yesus menjadi salib Simon,” katanya seraya mengatakan tindakan Simon kelihatan terpaksa, meskipun Simon tidak bercakap, tidak ada dialog antara Simon dan Yesus tetapi ia tetap melibatkan semangat Tuhan.
Sama ada Simon mempunyai belas kasihan atau tidak kerana dipaksa memikul salib Yesus, “Kita perlu merenung hati Tuhan yang sentiasa terbuka meskipun hati umat manusia tidak terbuka menerima kasih-Nya.”
Bapa Suci mengatakan, “Kita tidak tahu perasaan sebenar Simon dari Kirene yang menggantikan Yesus memikul salib. Tetapi kita tahu Simon memikul salib Yesus yang menebus dosa semua manusia. Yesus memikul salib kerana amat mengasihi kita, sebagai tanda taat-Nya kepada Bapa, Dia sanggup menderita dan mati untuk kita. Dan Simon dari Kirene, telah menjadi sebahagian sejarah penyelamatan bahawa dalam penyelamatan Tuhan, tidak ada orang asing, tidak ada orang yang terkecuali.”
“Melalui Simon dari Kirene, Tuhan memberi pesan kepada kita bahawa “Yesus datang untuk bertemu dengan semua orang, dalam setiap keadaan. Apa yang perlu kita lakukan ialah melihat sekeliling kita. Sangat ramai lelaki dan wanita yang diselubungi kebencian dan keganasan. Kebencian dan keganasan inilah Jalan ke Kalvari. Tetapi Tuhan telah menyediakan dan mewujudkan sebuah tempat penebusan apabila Dia menyerahkan nyawa-Nya bagi kita semua!”
Pada akhir teks homilinya, Sri Paus menjelaskan bahawa kita menghulurkan tangan kepada mereka yang menderita, membantu mengangkat mereka yang telah jatuh, memeluk mereka yang bersedih, kita menunjukkan bagaimana “penderitaan Yesus menjadi belas kasihan”. Sri Paus mengatakan untuk mengalami kehebatan keajaiban belas kasihan, kita boleh memikul salib kita sendiri tetapi juga salib orang-orang yang menderita di sekeliling kita bahkan dari orang yang tidak dikenali dalam kehidupan kita. --CNS/Media Vatikan
Total Comments:0