Audiensi Umum Hari Rabu Bersama Sri Paus Fransiskus: Simeon, Hana, teladan penziarah harapan
Walaupun Audiensi Umum Hari Rabu dibatalkan kerana masalah kesihatan, Sri Paus Fransiskus terus menulis katekesis dari bilik hospitalnya.
Mar 08, 2025

VATIKAN: Walaupun Audiensi Umum Hari Rabu dibatalkan kerana masalah kesihatan, Sri Paus Fransiskus terus menulis katekesis dari bilik hospitalnya.
Meneruskan siri katekesisnya bertema, “Yesus Harapan kita”, Bapa Suci menyampaikan renungan tentang misteri Yesus dipersembahkan di Bait Tuhan selepas empat puluh hari kelahiran-Nya.
Persembahan itu menunjukkan ketaatan Maria dan Yosef terhadap undang-undang Yahudi, dan menunjukkan kepada mereka bukan sahaja “mengintegrasikan” Yesus ke dalam keluarga, rakyat dan perjanjian, tetapi juga menjaga pertumbuhan Yesus dan misteri pertemuan Yesus denga dua figura ‘besar’: Simeon dan Hana.
Saksi iman, harapan, dan cinta
Simeon, yang merindui atau menunggu sekian lama Tuhan memenuhi janji- Nya, mendapat ilham Roh Kudus untuk mengambil Yesus ke dalam pangkuan- Nya.
Simeon amat terhibur atau bersukacita melihat Juruselamat Israel. Dia menyatakan perasaannya “dalam kidung pujian” yang penuh dengan rasa terima kasih yang tulus. Kidung Simeon ini telah menjadi doa senja dalam Gereja – “Nunc Dimittis” yang berbunyi, “Sekarang, Tuhan, perkenankanlah hamba-Mu berpulang ...”
Menurut Bapa Suci, Simeon adalah “saksi iman yang menerima hadiah dan membahagikan atau menyampaikan hadiah itu kepada orang lain; ... saksi harapan yang tidak mengecewakan; ... saksi cinta Tuhan, yang mengisi hati manusia dengan kegembiraan dan kedamaian.”
Harapan semula di hati kita
Di samping Simeon, Hana seorang balu yang sangat berdedikasi dalam pelayanan dan doa, juga melihat keselamatan pada anak Yesus.
Semasa melihat bayi Yesus, “Hana meraikan Tuhan Israel, yang telah menebus umat-nya melalui Anak itu, dan Hana memberitahu orang lain tentang Dia, dengan murah hati menyebarkan Firman Nabi”.
Bapa Suci Fransiskus menulis lagi bahawa, “Kidung Penebusan daripada dua orang Penatua itu memancarkan pewartaan Jubli untuk semua umat dan dunia. Harapan dihidupkan semula di hati di Bait Yerusalem kerana Kristus harapan kita telah memasukinya.”
Penziarah Harapan
Bapa Suci merumuskan refleksinya dengan mengundang umat beriman untuk meniru Simeon dan Hana, dua figura hebat sebagai “Penziarah Harapan”, yang dapat melihat di luar penampilan.
“Kedua-dua nabi itu tahu bagaimana untuk mengalu-alukan kunjungan Tuhan dengan kegembiraan dan menghidupkan harapan di hati saudara-saudari yang ditemui mereka.” --Media Vatikan
Total Comments:0