Bangga kerana beroleh bahagian dalam kemuliaan Tuhan

Pengarah Kastam Sabah pernah melaporkan bahawa permintaan terhadap minuman keras di Sabah membimbangkan. Beliau berkata: 'Mengikut statistik tahun 2005, Januari hingga Mac sahaja, Sabah telah mengimport 14,044 juta liter bir dan 3.082 juta liter Stout.

Mar 21, 2014

HARI MINGGU KETIGA
PRA-PASKAH
KEL.17:3-7;
ROM.5:1-2,5-8;
YOH.4:5-42

Pengarah Kastam Sabah pernah melaporkan bahawa permintaan terhadap minuman keras di Sabah membimbangkan. Beliau berkata: 'Mengikut statistik tahun 2005, Januari hingga Mac sahaja, Sabah telah mengimport 14,044 juta liter bir dan 3.082 juta liter Stout.

Jadi berdasarkan hitung panjang jumlah dua juta penduduk Sabah pada waktu itu, setiap rakyat negeri Sabah termasuk bayi, meminum 12 tin minuman keras sebulan." Jumlah minuman keras ini belum dihitung dengan jumlah minuman keras yang diseludup masuk yang katanya cukup berleluasa di negeri Sabah. Bagaimana dengan statistik tahun ini pula nanti? Kita tunggu dan lihat.

Apakah memang benar orangorang kita di Sabah ini begitu haus sehingga perlu minum minuman keras. Apakah tidak cukup hanya meminum 'air kosong' sahaja?

Sebagai tanda bahawa orang zaman sekarang tidak merasa cukup hanya minum air kosong sahaja, boleh kita lihat dan alami sendiri apabila makan di rumah atau di restoran. Orang biasanya mahu minum teh, kopi, jus oren, pepsi ... pendek kata air yang ditambah dengan pelbagai perasa atau 'minuman ringan' dan akhirnya dilengkapi dengan 'minuman keras' pula, "Baru ada umph" kata mereka.

Mungkin kita boleh membuat andaian orang-orang yang minum minuman keras yang melampau, sebenarnya haus akan keadilan, kebenaran dan cinta kasih. Mereka sebenarnya merindukan penghargaan, kebebasan dan keamanan.

Seperti wanita Samaria dalam Injil pada hari ini, dia sebenarnya ditindas oleh ketidakadilan dan dirinya dirantai dengan rasa bersalah kerana mempunyai lima orang suami sehingga dia haus untuk mendapatkan kebebasan dan kedamaian hati.

Sama seperti wanita tersebut, manusia sajak dahulu hingga sekarang mencuba memuaskan kehausan yang sungguh didahagai oleh hati manusia ini dipuaskan hanya sementara waktu sahaja melalui harta benda yang sifatnya pun hanya sementara belaka. Harta benda dan yang sejenis dengannya itu, tidak akan pernah memuaskan kehausan kita akan kehidupan kerohanian sebab pada dasarnya hanya Tuhan yang dapat memuaskan segala bentuk kehausan manusia.

Bapa yang maha pengasih dan penyayang itu telah memberikan kita air kehidupan melalui Yesus Kristus. Yesus Kristus berkata: "Sesiapa minum air, yang akan Ku berikan kepadanya, ia tidak akan haus untuk selama-lamanya" (Yoh.4:14).

Air kehidupan yang diberikan oleh Yesus Kristus adalah kehidupan Tuhan, dan oleh kerana Tuhan itu adalah kasih, maka kita menerima cinta kasih Tuhan apabila kita meminum Air Kehidupan tersebut. Paulus sendiri telah mengakui hakikat ini bahawa melalui pembaptisan kita, “Kasih Tuhan telah dicurahkan di dalam hati kita” (Rom.5:5). Kasih terhadap Tuhan yang mengalir daripada Roh Kudus- Nya inilah yang sebenarnya membuat kita haus seperti umat yang berada di tanah yang tandus.

Persoalannya muncul di sini bahawa di manakah Tuhan itu sebenarnya? Apakah kita masing-masing sungguh-sungguh melihat keberadaan-Nya di dalam kehidupan sesama kita? Di dalam kehidupan kita yang serba ketandusan ini ditambah dengan kehausan jiwa raga kita, apakah kita tidak menuntut sesuatu tanda dan terus mencari- Nya walaupun kita sudah diberi petunjuk?

Namun kita sungguh beruntung kerana Tuhan itu maha baik pada kita. Walaupun kita berada di 'padang gurun' dan wanita Samaria itu di tepi sumur, Tuhan masih tetap hadir dan menawarkan penghiburan dan tunjuk ajar. Hidup seharian kita boleh jadi tandus dan merasakan Tuhan itu tidak ada.

Tuhan kelihatannya ada di manamana tapi bukan pada diri kita. Kita telah taat pada peraturan-peraturan namun orang-orang yang tidak berbuat demikian lebih maju pula. Lalu kita berfikir Tuhan itu tidak adil. Ini bererti kita sedang menghadapi cubaan. Kita mahu suatu tanda bahawa Tuhan itu ada dan dekat pada kita. Kadang-kadang kehidupan rohani kita terasa kering. Kita rasakan diri kita berada di dalam suasana ketandusan maka akhirnya kita pun sebenarnya memerlukan air Kehidupan yang mahu ditawarkan oleh Yesus itu.

Lalu apakah yang dapat menghibur hati kita yang haus akan kesempurnaan ini? St. Paulus memberi kita jawapan yang sungguh menghiburkan, “Pengharapan tidak mengecewakan, kerana kasih Tuhan telah dicurahkan ke dalam hati kita oleh Roh Kudus… kerana Kristus telah mati untuk kita” (Rm 5:5-6). Jadi, sebenarnya sewaktu kita mengalami kekeringan hidup kerohanian, Tuhan itu masih tetap berkarya di dalam diri kita masing-masing dengan cara-Nya yang tersendiri.

Rahmat Tuhan yang mengalir ke dalam kehidupan kita melalui Kristus itu perlu dikongsikan. Itulah sebabnya sesiapa yang meminum air kehidupan yang datang daripada- Nya itu: “Akan menjadi mata air di dalam dirinya, yang terus menerus memancar sampai kepada hidup yang kekal' (Yoh 4:14).Seperti wanita samaria tadi, bersediakah kita mengongsikan air kehidupan dengan sesama yang sungguh memerlukan, seperti orang-orang miskin, sakit, buta, kesepian, tersepit dalam kancah amalan sosial yang salah, ketidakadilan? Dalam hal ini nampaknya orang-orang yang kaya pun memerlukannya sebab walaupun kaya dengan harta benda tapi miskin dalam hal hidup rohani.

Segala bentuk doa, puasa dan tindakan sosial dapat menawarkan kepada kita untuk kesempatan mencicipi air kehidupan tersebut serta mengongsikannya dengan sesama. Liturgi sepanjang masa Pra-Paskah ini akan membawa kita lebih dekat lagi kepada sumber air kehidupan tersebut.

Namun jangan sampai perjalanan liturgi tersebut mengganggu kita sehingga lupa bahawa inti liturgi tersebut adalah air kehidupan. Bahawa Tuhan itu sangat dekat dengan kita dan Dia sentiasa berada di tengah-tengah kita. -- JL







Total Comments:0

Name
Email
Comments