Bapa Suci berdoa untuk penumpang/anak kapal pesawat MH 370

Pada Mac 16, hari Ahad, Paus Fransiskus menyeru umat untuk mendoakan 239 penumpang termasuk 12 krew pesawat Malaysian Airlines (MAS) yang hilang ketika penerbangan ke Beijing pada Mac 8 lalu.

Mar 21, 2014

ROMA: Pada Mac 16, hari Ahad, Paus Fransiskus menyeru umat untuk mendoakan 239 penumpang termasuk 12 krew pesawat Malaysian Airlines (MAS) yang hilang ketika penerbangan ke Beijing pada Mac 8 lalu.

Bapa Suci juga meminta umat untuk mendoakan para keluarga kepada penumpang dan anak kapal pesawat MH 370 agar tabah dalam masa getir ini.

Pihak berkuasa Malaysia tidak menafikan kemungkinan pesawat jenis Boeing 777 itu dirampas. Pada Mac 15 lalu, Perdana Menteri Malaysia, Najib Tun Razak mengesahkan kepada para wartawan bahawa perubahan haluan MH370 adalah disengajakan dan menyimpang dari laluan asal yang mungkin dilakukan oleh seseorang dalam penerbangan. Menurut laporan, terdapat lima orang penumpang menaiki pesawat tersebut dengan pasport palsu.

Semasa doa Angelus pada hari Ahad lalu, Bapa Suci menyatakan kebimbangan dan keprihatinannya seraya menyeru ratusan ribu penziarah dari pelbagai negara yang berhimpun di Dataran Sto Petrus untuk mendoakan keselamatan penumpang dan anak kapal pesawat MH 370.

Selepas memberi berkat kepada para penziarah, Paus Fransiskus menyatakan, “Saya mengajak anda semua berdoa bagi keselamatan para penumpang dan anak kapal pesawat MAS dan keluarga mereka. Pada masa sukar ini, kita sentiasa berada dekat dengan mereka dalam doa.”

Kehilangan pesawat MAS MH 370 memberikan kesan dan tekanan hebat kepada kerajaan serta rakyat Malaysia. Kemungkinan pesawat itu dirampas juga menyebabkan
kebimbangan di kalangan masyarakat tempatan dan luar negara.

Lebih kurang 25 negara membantu Malaysia dalam misi pencarian pesawat MAS MH 370 termasuklah China, India, Jepun dan Amerika Syarikat.

Kata-kata Sangti Papa disuarakan pada saat kebimbangan besar melanda negara yang majoritinya beragama Islam dengan 30 juta penduduk, manakala populasi Kristian adalah lebih 10 peratus di mana Takhta Suci mempunyai hubungan baik dengan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Takhta Suci pada bulan Julai, 2011.

Kata-kata Fransiskus juga penting kerana majoriti penumpang pesawat tersebut ialah kaum Cina dan bagi rakyat Malaysia, mereka terus berasa bimbang serta resah kerana nasib rakan-rakan mereka masih belum diketahui. -- VIS

Total Comments:0

Name
Email
Comments