Bonda Maria Gunung Kinabalu
Uskup Cornelius mencadangkan memberi gelaran kepada Bonda Tuhan dengan gelaran Bonda Maria Gunung Kinabalu.
Sep 28, 2024

KENINGAU: Uskup Cornelius mencadangkan memberi gelaran kepada Bonda Tuhan dengan gelaran Bonda Maria Gunung Kinabalu.
Sempena SYD-6 di Keuskupan Keningau, Uskup Cornelius memberi cadangan memberi gelaran kepada Bonda Maria: Bonda Maria Gunung Kinabalu atau Our Lady of Mount Kinabalu.
“Mengapa tidak memberi gelaran Bonda Maria dengan menggunakan ikon negeri Sabah? Kita mempunyai banyak simbol tempatan yang terkenal sehingga di peringkat antarabangsa, mengapa tidak menggunakannya dalam devosi kepada Bonda Maria?” kata Uskup Cornelius Piong semasa menyampaikan ucapan pada akhir Misa Kudus pembukaan Sabah Youth Day-6 (SYD-6) pada September 17 lalu.
“Setiap kali melihat dan melintasi Gunung Kinabalu, ingatlah akan Bonda Maria dan kesetiaannya terhadap Tuhan,” kata Uskup Cornelius.
Selepas memberi cadangan tersebut, Uskup Cornelius mengajak semua peserta SYD-6 untuk memberi penghormatan kepada Bonda Maria dengan menyanyikan lagu “Maria Tina Za” (Maria Bonda Kita), lagu ciptaan prelatus itu yang juga menjadi lagu liturgi di Sabah.
Fr David Gasikol dari Keuskupan Keningau menyatakan bahawa Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara, sentiasa menjadi ikon yang melambangkan keagungan ciptaan Tuhan di bumi Sabah malah setiap tahun, menarik ribuan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menakluki serta melihat gunung itu.
Mengenai cadangan Uskup Cornelius tentang memberi gelaran Bonda Maria Gunung Kinabalu, Fr David mengatakan, “Dengan melihat Gunung Kinabalu melalui mata iman, kita menyedari betapa besar pelajaran iman yang boleh kita ambil dari kehidupan Bonda Maria.”
“Khususnya bagi para belia, Bonda Maria sentiasa menjadi pencetus inspirasi bagi kaum muda untuk bangkit, menjadi saksi, garam dan terang dunia.” Didiroy Joneh
Total Comments:0