Cahaya Paskah bawa Harapan sejati

Uskup Agung Kuala Lumpur, Uskup Agung Julian Leow mengatakan, “Ketika kita berkumpul untuk merayakan kebangkitan Juruselamat kita, Yesus Kristus, kita diingatkan akan harapan yang tidak terbatas, yang ditawarkan untuk kita melalui kemenangan-Nya melawan alam maut.”

Apr 18, 2025



KUALA LUMPUR:
Uskup Agung Kuala Lumpur, Uskup Agung Julian Leow mengatakan, “Ketika kita berkumpul untuk merayakan kebangkitan Juruselamat kita, Yesus Kristus, kita diingatkan akan harapan yang tidak terbatas, yang ditawarkan untuk kita melalui kemenangan-Nya melawan alam maut.”

Prelatus itu mengatakan “harapan” itu bukan abstrak tetapi HIDUP. “Harapan itu memperbaharui semangat kita, menyembuhkan hati kita dan memanggil kita untuk hidup dalam cahaya kebangkitan Yesus.”

Peka terhadap penderitaan dunia
Uskup Agung Julian mengingatkan umat bahawa umat Katolik bukan sahaja menyambut sukacita Paskah tetapi juga sedang menjalani Tahun Jubli Harapan yang menjemput umat peka terhadap kasih Tuhan dan penderitaan dunia.

Paskah membawa salah harapan yang mendalam iaitu pada masa-masa yang paling gelap, kehidupan akan menang.

“Namun,” katanya, “seperti yang kita lihat di seluruh dunia, pelbagai penderitaan sedang mengelilingi kita. Kita melihat penderitaan akibat konflik berterusan di Palestine, di mana keluarga terpisah dan masyarakat hidup dalam ketakutan serta keganasan yang berterusan.

“Kita menangis dengan mereka yang telah kehilangan besar selepas gempa bumi dahsyat di Myanmar. Kita berdiri bersama dengan keluarga yang terjejas oleh letupan gas di Putra Heights, di mana kemusnahan telah menyebabkan mangsa mencari harapan di tengah- tengah kehancuran — semua ini mengingatkan kita untuk peka terhadap penderitaan yang dihadapi oleh saudara-saudari kita setiap hari.”

Di tengah-tengah penderitaan, Harapan tidak dapat dikalahkan
Meskipun dalam keadaan suram, Uskup Agung Julian mengajak umat beriman agar tidak lupa bahawa di tengah-tengah penderitaan kita, terletak harapan yang tidak dapat dikalahkan.

Sama seperti Kristus menanggung berat dosa-dosa dunia di salib dan menderita demi menyelamatkan kita, Dia juga telah membangkitkan kematian dan membuka pintu kepada kehidupan kekal.

Kebangkitan-Nya memberi makna baharu kepada penderitaan kita. Kebangkitan- Nya memberi jaminan kepada kita bahawa tidak ada kesakitan tanpa tujuan dan tiada kegelapan terlalu besar. Inilah harapan yang menopang kita ketika kita berdoa untuk semua yang terjejas oleh konflik, bencana, dan malapetaka.

Kita berdoa untuk rakyat Palestine, bahawa keamanan menggantikan keganasan dan hati yang terluka dapat dipulihkan.

Kita berdoa untuk mangsa gempa bumi di Myanmar, agar mereka dapat mencari kekuatan dan penghiburan dalam kesedihan mereka, dan membina semula kehidupan mereka dengan belas kasihan dan sokongan masyarakat global.

Kita berdoa bagi mereka yang terkesan akibat letupan gas di Putra Heights, agar mereka dapat merasakan rahmat Tuhan dan sokongan daripada orang-orang di sekeliling mereka. Kita berdoa untuk semua orang yang mengalami kesusahan perang, bencana alam dan tragedi manusia di seluruh dunia. Semoga Tuhan merangkul mereka, menawarkan keamanan, harapan, dan penghiburan berkat daripada kebangkitan-Nya.

Tetapi janganlah kita lupa bahawa kita bukan sahaja dipanggil untuk berdoa bagi mereka yang menderita, tetapi untuk berdiri bersama mereka dalam tindakan dan solidariti.

Paskah ini, kita diingatkan bahawa iman kita tidak pasif. Kita dipanggil untuk menjadi pembawa harapan di dunia. Kita dipanggil untuk mendekati mereka yang terabai, yang hilang dan yang rapuh kerana di mata Kristus, mereka berharga dan disayangi.

Tahun Jubli Harapan memanggil kita untuk hidup sebagai keluarga yang bersatu dalam kasih Kristus, memperluas cinta itu kepada mereka yang memerlukan. Ketika kita merayakan kebangkitan, marilah juga merenungkan perjalanan iman kita sendiri.

Pesan bagi umat yang meninggalkan Gereja
Kepada umat yang sudah jauh daripada Gereja, Uskup Agung Julian dengan tulus menjemput mereka kembali lebih-lebih lagi pada Tahun Jubli Harapan kerana “rahmat Tuhan yang tidak terbatas selalu menanti anda.”

Tidak kira sejauh mana anda dapat merasakannya, atau betapa sukarnya jalan untuk kembali, ketahuilah bahawa Kristus sentiasa menunggu dengan tangan terbuka, Dia sentiasa bersedia untuk mengalu-alukan anda pulang. Gereja adalah keluarga anda.

Pada akhir pesan Paskahnya, Uskup Agung Julian mengucapkan “semoga kebangkitan Tuhan mengingatkan kita semua bahawa melalui Dia, segala sesuatu adalah mungkin.”

Total Comments:0

Name
Email
Comments