Camp Equip lengkapi kaum muda pengetahuan penginjilan

Sekumpulan kaum muda dari Malaysia dan Singapura berkumpul di Pusat Kerohanian Monsignor Aloysius (MASC) untuk Camp Equip 2025, sebuah program retret selama dua minggu yang dianjurkan memperdalam iman mereka.

Mar 22, 2025


Pulau Pinang:
Sekumpulan kaum muda dari Malaysia dan Singapura berkumpul di Pusat Kerohanian Monsignor Aloysius (MASC) untuk Camp Equip 2025, sebuah program retret selama dua minggu yang dianjurkan memperdalam iman mereka.

Dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan godaan, Camp Equip memberikan lebih daripada sekadar pengayaan rohani.

Ia memberikan pengalaman hidup bagi kaum muda untuk berkembang dalam lima aspek utama kerohanian karismatik iaitu ibadah, syafaat, karunia rohani, penginjilan, dan kerasulan.

Peserta yang berusia 18 hingga 25, datang dari pelbagai lokasi iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sitiawan dan Singapura. Sepanjang retret, mereka diberikan pengetahuan rohani oleh penceramah dinamik dari Seeds Ministry dan Ablaze Ministry.

Sesi-sesi ini membantu kaum muda memperdalam pemahaman rohani mereka dan memberi inspirasi kepada mereka untuk melayani orang lain dengan kasih dan belas kasihan.

Modul retret menumpukan pada aspek utama kehidupan Kristian. Modul ibadat menekankan rasa terima kasih, pujian, dan penyerahan, sementara syafaat mengajar para peserta bagaimana berdoa secara ‘kenabian’ (prophetically) untuk orang lain.

Dalam modul Karunia Rohani, para hadirin meneroka bakat unik mereka dan belajar bagaimana menggunakannya dalam pelayanan kepada Tuhan. Manakala dalam aspek penginjilan, para peserta dipersiapkan untuk berkongsi kepercayaan mereka dengan berani, dan aspek kerasulan pula mencabar mereka untuk meneroka makna sebenar mengikuti Kristus.

Salah satu elemen penting dalam Camp Equip adalah fokus pada aplikasi dunia nyata.

Pada sebelah petang, peserta dapat mengamalkan pembelajaran mereka, sama ada melalui ibadah, doa atau berkongsi pengalaman peribadi mereka.

Misi Penginjilan merupakan kemuncak aktiviti apabila para peserta melawat rumah St Joseph, tempat perlindungan kanak-kanak dan Pusat Lighthouse Feeding, sebuah pusat perkhidmatan untuk mereka yang tiada tempat tinggal.

Pengalaman ini membolehkan para peserta mengatasi sebarang ketakutan yang berkaitan dengan aktiviti penginjilan.

Akiviti ini dilakukan di sepanjang Karpal Singh Drive, mendorong para belia menyapa mereka yang tidak dikenali dan berkongsi pesan Kristus.

Meskipun pada awalnya berasa takut, namun ramai peserta mendapati keberanian untuk melangkah sebagai utusan cinta Tuhan.

Retret ini diakhiri dengan acara Arise, di mana para peserta berpeluang untuk berkongsi kesaksian mereka dan merenungkan transformasi mendalam yang mereka alami sepanjang retret. Kemudian, para peserta merayakan Misa Kudus penutup bersama Kardinal Sebastian Francis.

Total Comments:0

Name
Email
Comments