Gereja Katolik sertai dialog perpaduan bersama NUCC

Majlis Penasihat Perpaduan Negara (NUCC) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Jabatan Perdana Menteri menganjurkan sesi dialog dengan orang awam bertema, “Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi Membina Bersama Bangsa Malaysia yang Bersatu Padu.”

Mar 28, 2014

SANDAKAN (Herald Malaysia): Majlis Penasihat Perpaduan Negara (NUCC) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Jabatan Perdana Menteri menganjurkan sesi dialog dengan orang awam bertema, “Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi Membina Bersama Bangsa Malaysia yang Bersatu Padu.”

Dialog ini diadakan di SMK Merpati, Sandakan yang dihadiri lebih kurang 300 peserta dari pelbagai jabatan Kerajaan, agensi, politik dan agama.

Dua orang perwakilan dari Katedral St Mary ialah Dalius L.Lobinjang dari SOCCOM dan Sunday Samuel Worok dari Pejabat Paroki. Sesi dialog tersebut diadakan dalam suasana terbuka di mana peserta digalakkan untuk menyuarakan pendapat atau persoalan mereka.

Wakil dari Gereja Katolik, Dalius, memberikan pendapat beliau bahawa untuk memupuk perpaduan nasional, ia harus bermula dari pendidikan kanakkanak. Maka adalah penting bagi ahli akademik bagi merumuskan formula untuk mempromosi perpaduan nasional di peringkat sekolah.

Beliau juga menyatakan bahawa demonstrasi jalanan yang berlaku di Semenanjung bukanlah budaya di Sabah di mana penduduk di negeri bawah bayu lebih bertoleransi antara sesama. Dalius mencadangkan agar perbezaan politik lebih baik dibincangkan dalam forum atau debat disiarkan secara langsung melalui media tanpa sekatan agar semua pihak dapat menyuarakan pandangan mereka. “Ini adalah lebih baik daripada melakukan demonstrasi jalanan,” ujar Dalius.

Satu aspek positif melalui sesi dialog bersama kerajaan ini ialah ia mewujudkan platform orang awam bersoal jawab dengan pihak berkuasa dengan harapan kerajaan akan mendengar masalah hingga ke akar umbi.

Total Comments:0

Name
Email
Comments