Hidup dalam lembah air mata

Ada pepatah yang mengatakan bahawa seorang ateis adalah seseorang yang tidak dapat memahami metafora. Thomas Halik, seorang penulis Czech, menyatakan bahawa seorang ateis ialah seorang yang tidak mempunyai cukup sabar dengan Tuhan.

Apr 11, 2014

Ada pepatah yang mengatakan bahawa seorang ateis adalah seseorang yang tidak dapat memahami metafora. Thomas Halik, seorang penulis Czech, menyatakan bahawa seorang ateis ialah seorang yang tidak mempunyai cukup sabar dengan Tuhan.

Kenyataan tersebut ada banyak kebenarannya. Sabar terhadap Tuhan mungkin merupakan pergelutan iman kita yang utama. Tuhan kelihatannya tidak tergesa-gesa dalam menolong kita. Oleh kerana itu kita hidup dalam ketidaksabaran yang menguji keteguhan iman dan kesabaran hati kita.

Kita semua tahu bahawa di dalam hidup ini kita pasti mengalami kekecewaan pahit dan rasa sakit hati yang amat dalam. Kita semua hidup di dalam pelbagai kesakitan dan ketegangan yang rumit untuk diselesaikan.

Siapa di antara kita yang tidak pernah mengalami penderitaan sakit, pelbagai kegagalan peribadi dan profesional, berasa malu, kurang keyakinan diri, kedukaan kerana kehilangan orang tersayang, pelbagai jenis kerinduan dan beberapa kejadian ketidakadilan dalam hidup?

Di dalam hidup ini, amat jarang terjadi kebahagiaan yang sejati dan tulus sebaliknya ada sahaja yang akan mengganggu emosi kita. Sebenarnya, kita hidup “di lembah air mata.”

Kita dilahirkan untuk bahagia tetapi kebahagiaan sejati seakanakan tidak pernah "mengunjungi" hidup kita. Begitu juga di dalam keadilan. Yesus berjanji bahawa mereka yang berhati lemah lembut akan mewarisi bumi, tetapi dalam kebanyakan hal, perkara ini mustahil untuk dilakukan. Bagi orang yang sombong, orang yang berhati pengasihan, tidak akan dapat hidup maju di dunia ini.

Di dalam sebuah siri kartun terkenal, watak utamanya Ziggy sedang berdoa kepada Tuhan. “Saya hanya mahu memberitahu- Mu bahawa mereka yang berbelas kasihan semakin ditindas!” Inilah yang selalu terjadi di kalangan orang-orang yang berbelas kasihan.

Jadi di manakah Tuhan? Di mana kebenaran janji Yesus bahawa orang yang lemah lembut adalah pemilik dunia ini? Kita telah lama menyaksikan ketidakadilan berlaku di seluruh dunia sehingga menyebabkan kita menahan sabar terhadap Tuhan atau pada suatu tahap, kita percaya bahawa janji-janji atau kehadiran Tuhan adalah tidak benar.

Apabila Yesus mati di atas salib, beberapa saksi yang ada di situ mengejek dan mencabar Dia: “Jika Engkau Anak Tuhan, mintalah Dia untuk menyelamatkan Engkau!”

Kata-kata itu pada dasarnya bermaksud, “Jika Engkau Tuhan yang Benar dan pesanan-Mu adalah benar, buktikanlah sekarang!”

Tetapi Tuhan membiarkan Yesus mati! Hal ini juga terjadi semasa Yesus menghadapi kematian sahabat-Nya Lazarus.

Pada dasarnya, Yesus telah dicabar: “Jika Engkau memiliki kuasa Tuhan di dunia ini dan Engkau mengasihi Lazarus, mengapa Engkau tidak menyelamatkan- Nya semasa Dia di ambang maut?” Dan Yesus membiarkan Lazarus mati!

Komuniti pertama para Rasul, selepas Kenaikan Yesus ke syurga, turut bergelut dengan persoalan tersebut: “Yesus adalah Tuhan dan Dia mengasihi kita, tetapi mengapa Dia membiarkan kita mati?”

Setiap kita menanyakan soalan itu di dalam cara tersendiri kerana kita mahu Tuhan yang selalu menyelamatkan kita, kita mahu Tuhan selalu campur tangan dengan aktif dalam mewujudkan keadilan dan kesejahteraan bagi dunia ini, kita mahu Tuhan bertindak secara nyata dan kita mahu Tuhan sentiasa menjaga kesihatan serta tidak membiarkan kita mati.

Tidak ada seorang pun di antara kita mahu Tuhan yang meminta kita untuk tahan sabar dan berjanji bahawa pada akhirnya, cinta kasih dan keadilan akan terserlah, tidak ada lagi air mata dan semuanya akan menjadi baik. Kita mahu hidup, kasih, keadilan dan pelaksanaan serta merta, bukan terjadi pada masa hadapan atau selepas menderita sekian lama. Pepatah Yahudi kuno mengatakan, “Tuhan tidak pernah tergesa-gesa!”

Oleh itu, kita hidup dengan ketidaksabaran yang jelas kepada Tuhan atau menyembunyikannya di dalam diri kita. Pada asasnya, pada tahap tertentu, seorang ateis yang sudah penat bersabar menyatakan, “Saya sudah cukup melihat; Saya sudah lama menanti tetapi tidak ada hasilnya! Saya tidak mahu lagi menanti Tuhan!”

Seorang penganut ateis menyatakan, “Saya tidak mahu lagi menanti Tuhan” tetapi bagi orang yang beriman adalah sebaliknya, mereka akan mengucapkan, “Saya akan menunggu Tuhan!” Sekiranya ateisme itu tidak sabar, iman adalah kesabaran.

Sebuah pertanyaan pernah diajukan kepada seorang biarawan Itali, Carlo Carretto, selepas beliau menghabiskan masa lebih daripada 20 tahun hidup hening di gurun Sahara. Beliau ditanya satu perkara yang Tuhan selalu tekankan semasa beliau melakukan hidup hening yang lama itu. Beliau menjawab, “Tuhan meminta kita menunggu dan bersabar!”

Mengapa kita perlu bersabar dalam jangka masa yang lama? Adakah Tuhan mahu menguji kita? Adakah Tuhan mahu melihat iman kita sama ada kita layak menerima ganjaran besar? Tidak. Ini bukanlah sebuah permainan dan Tuhan tidak mempermainkan kita. Tuhan meminta kita bersabar bukan kerana mahu menguji kita.

Keharusan bersabar timbul daripada irama semula jadi kehidupan dan cinta kasih itu sendiri. Mereka tidak perlu diaduk. Ia adalah seperti bunga atau saat kehamilan yang menurut ritmanya sendiri dan berkembang atau melahirkan dalam masa yang tertentu. Ia tidak boleh dipercepatkan meskipun kita sudah tidak mampu menahan kesabaran atau sangat terdesak.

Begitu juga Tuhan, kita tidak boleh meminta Dia tergesa-tergesa kerana Dia mempunyai jadual-Nya yang tersendiri, ‘Jadual’ itu terus dan selalu melindungi agar hidup kita terus bertumbuh dan dikasihi agar tidak ‘gugur’ akibat kelahiran pra-matang. -- Fr Ron Rolheiser @ Hakcipta Terpelihara 1999- 2014

Total Comments:0

Name
Email
Comments