Kasih umat kuatkan paderi kekal melayani

“Baru dua bulan melayani tetapi leher sudah hilang” atau maksud sebenarnya, “baharu sahaja dua tahun menjadi paderi tetapi berat badan bertambah” yang mengungkapkan penjagaan dan sokongan hebat daripada umat setempat terhadap para paderi.

Apr 25, 2025


KENINGAU:
“Baru dua bulan melayani tetapi leher sudah hilang” atau maksud sebenarnya, “baharu sahaja dua tahun menjadi paderi tetapi berat badan bertambah” yang mengungkapkan penjagaan dan sokongan hebat daripada umat setempat terhadap para paderi.

Kata-kata tersebut dinyatakan oleh Fr Appolonius Yakis pada April 6 lalu.

Pada hari tersebut merupakan ulang tahun kepaderian yang ke-48 Uskup Cornelius Piong, ulang tahun kepaderian kedua bagi Fr Appolonius dan ulang tahun imamat pertama Fr Nakudah Kilin.

Uskup dan dua orang paderi itu diraikan serentak di Dewan Majlis Pastoral Paroki Katedral St Francis Xavier dalam sebuah majlis kesyukuran yang dihadiri lebih 300 umat.

Uskup Cornelius Piong dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Fr Appolonius dan Fr Nakudah dan mengungkapkan terima kasih kepada semua pihak – MPP, Monsignor, para paderi, paderi pelawat dari Indonesia, Romo Ricardo, pengerusi-pengerusi zon, KKD, KUK, belia, serta pelbagai komisi dan umat – atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang 48 tahun pelayanan sebagai paderi.

Prelatus situ turut berkongsi bahawa kasih Tuhanlah yang menopang segala cabaran dalam hidup sebagai paderi dan Uskup selama ini.

Uskup Cornelius Piong juga mengajak umat untuk terus memupuk semangat kesatuan, kesetiaan, kekudusan dan semangat misi dalam membangun komuniti yang saling peduli dan menjadi saksi bagi Kristus.

Majlis diteruskan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Msgr Gilbert Lasius, diikuti dengan acara pemotongan kek ulang tahun dan jamuan kasih.

Majlis ini menjadi simbol penghargaan dan kesyukuran atas rahmat panggilan suci yang telah dianugerahkan oleh Tuhan kepada ketiga-tiga paderi ini.

Ia turut menjadi seruan kepada umat untuk bersama-sama mempromosikan panggilan menjadi paderi bagi meneruskan karya Yesus di dunia dan memberi pelayanan sakramen kepada umat di Keuskupan Keningau.

Total Comments:0

Name
Email
Comments