Kaum muda Asia, tanda harapan perangi perubahan iklim

Di tengah-tengah krisis ekologi yang semakin teruk di seluruh Asia, Uskup Katolik memuji inisiatif alam sekitar akar umbi dan advokasi iklim yang dipimpin oleh belia sebagai “tanda harapan” dalam memerangi perubahan iklim.

Mar 28, 2025


BANGKOK:
Di tengah-tengah krisis ekologi yang semakin teruk di seluruh Asia, Uskup Katolik memuji inisiatif alam sekitar akar umbi dan advokasi iklim yang dipimpin oleh belia sebagai “tanda harapan” dalam memerangi perubahan iklim.

Usaha-usaha tersebut mencerminkan daya tahan dan komitmen berasaskan iman yang semakin meningkat untuk melindungi planet ini manakala masyarakat yang terdedah terus menanggung kemerosotan degradasi alam sekitar.
Dalam surat pastoral yang dikeluarkan pada Mac 15, Federasi Persidangan Uskup Asia (FABC) memuji tindakan iklim yang didorong oleh masyarakat dan kepimpinan orang muda sebagai tindak balas penting terhadap krisis yang mengancam kehidupan manusia dan integriti penciptaan.

Sempena ulang tahun ke-10 Laudato Si’, ensiklik Sri Paus Fransiskus mengenai penjagaan penciptaan dan Tahun Jubli Harapan, FABC menekankan bagaimana tindakan alam sekitar kini diintegrasikan ke dalam kehidupan Gereja melalui “audit hijau paroki”, sebuah projek tenaga boleh diperbaharui dan pendidikan alam di institusi-institusi Katolik.

FABC mengatakan bahawa, “Komitmen kaum muda di keuskupan-keuskupan di Asia semakin meningkat sebagai juara ekologi integral, mengutamakan panggilan Sri Paus Fransiskus dalam Laudate Deum untuk bertindak dengan segera demi masa depan planet. Komitmen mereka menawarkan harapan masa depan penciptaan dan cabaran bagi kita untuk bertindak dengan tanggungjawab yang lebih besar.”

FABC juga menjemput Gereja-gereja tempatan untuk memerhatikan musim penciptaan, dari September 1 hingga Oktober 4, sebagai masa “pembaharuan rohani dan ekologi”. Tempoh ini, kata mereka, harus termasuk pendidikan mengenai tanggungjawab ekologi, mempromosikan gaya hidup yang mampan dan memupuk kerohanian penciptaan.

Para Uskup menekankan bahawa inisiatif-inisiatif daripada kaum muda itu adalah bukti bahawa “Roh Kudus masih hidup dan aktif di dunia kita” dan menjadi sebahagian daripada panggilan yang lebih luas kepada pertaubatan ekologi, tema yang ditekankan dalam ajaran agama Katolik mengenai pengawasan alam sekitar.”

Para Uskup menggesa umat beriman menggunakan Pra-Paskah sebagai tempoh refleksi mengenai “dosa terhadap penciptaan Tuhan” dan komited untuk merangkul pertaubatan ekologi melalui tindakan peribadi serta kolektif.

“Biarkan musim Pra-Paskah ini menjadi kesempatan bagi kita untuk memeriksa hati nurani kita dan dengan rendah hati mengakui dosa-dosa kita terhadap penciptaan Tuhan. Ambillah peluang untuk bertindak balas terhadap panggilan Tuhan demi pertaubatan ekologi!” --LiCAS News

Total Comments:0

Name
Email
Comments