Keuskupan Sandakan rayakan Misa Krisma

Misa Krisma yang biasanya dirayakan pada pagi Khamis Suci, diraikan lebih awal di Keuskupan Sandakan.

Apr 12, 2025


SANDAKAN:
Misa Krisma yang biasanya dirayakan pada pagi Khamis Suci, diraikan lebih awal di Keuskupan Sandakan. Pada Mac 27, para paderi dari pelbagai paroki Keuskupan Sandakan berkumpul di Katedral St. Mary untuk meraikan karunia imamat dan Ekaristi selepas mesyuarat para paderi.

Uskup Julius yang memimpin Misa Krisma mengatakan bahawa Misa Krisma adalah perayaan khas. “Kita berkumpul untuk memuji dan mengucapkan terima kasih kepada Tuhan atas karunia imamat dan Ekaristi, yang berkait rapat dengan satu sama lain.”

Tambahnya lagi, “Semua orang yang dibaptis dapat berkongsi dalam pelayanan Yesus, iaitu mengajar dan berdoa. Pelayanan imamat berkaitan dengan orang-orang yang ditahbis.

Mereka berkongsi imamat Kristus dengan cara yang istimewa. Hanya para paderi sahaja yang dapat memimpin Ekaristi, kebijaksanaan Ilahi yang diberikan Tuhan kepada Gereja agar pelayanan Kristus dapat diteruskan di dalam Gereja.”
Misa Krisma juga menyatakan perpaduan dan persekutuan para paderi apabila mereka memperbaharui komitmen imamat mereka.

Semasa Misa Krisma, Uskup Julius memberkati minyak untuk orang sakit, minyak katekumen dan minyak krisma. Ketiga-tiga minyak ini dibawa ke hadapan altar oleh seminarian Edward Yahan, Ricki Boy Hasim dan Fr Dafrinn Diwol.
Uskup Julius turut menyeru para umat agar menyokong, berdoa untuknya dan semua paderi di Keuskupan Sandakan. Kepada para paderi, prelatus itu mengingatkan bahawa mereka telah dipilih oleh Yesus untuk melayani di ladang-Nya dan bahawa mereka adalah penting untuk rancangan Tuhan.

Uskup Julius menggalakkan para paderi untuk melayani umat Tuhan, bersukacita dalam pelayanan, menjadi manusia pendoa dan kuat ketika mereka menghadapi cabaran dan berusaha terus mencari kekudusan. Evelyn Jock

Total Comments:0

Name
Email
Comments