Khabar Sri Paus Fransiskus: Bapa Suci ikuti retret Pra-Paskah dari hospital

Pejabat akhbar Vatikan menerbitkan pesan bertulis Sri Paus Fransiskus untuk dibaca pada doa Angelus, waktu tengah hari, Mac 9.

Mar 22, 2025


VATIKAN:
Pejabat akhbar Vatikan menerbitkan pesan bertulis Sri Paus Fransiskus untuk dibaca pada doa Angelus, waktu tengah hari, Mac 9.

Dalam pesannya, Bapa Suci mengatakan sepanjang beliau dirawat di hospital, beliau juga merasakan perhatian dalam pelayanan dan kelembutan para perawat, khususnya para doktor dan petugas kesihatan, “saya mengucapkan terima kasih dari lubuk hati yang paling dalam,” kata Sri Paus Fransiskus.

Teksnya mengatakan bahwa dia memikirkan ramai orang yang menemani dan membantu mereka yang sakit “dan mereka merupakan tanda kehadiran Tuhan. Kita memerlukan ‘keajaiban kelembutan’, yang menemani mereka yang berada dalam kesulitan, membawa sedikit cahaya pada hari-hari kesakitan.”

Sri Paus mengucapkan terima kasih kepada “semua orang yang menunjukkan kedekatan mereka dengan saya dalam doa: Terima kasih yang tulus kepada anda semua! Saya juga berdoa untuk anda.”

Disebabkan Sri Paus Fransiskus masih dirawat di hospital, beliau mengikuti retret Pra-Paskah untuk Kuria Roma melalui video. Bapa Suci menyertai Misa pada Hari Minggu Pra-Paskah pertama, Mac 9 di kapel untuk para Sri Paus di Tingkat 10, Hospital Gemelli di Roma.

Kardinal Pietro Parolin, Setiausaha Negara Vatikan, dan Uskup Agung Edgar Peña Parra, ketua umum sekretariat negara, mengunjungi Sri Paus di hospital pada Mac 9 memberikan maklumat terbaharu kepada Bapa Suci tentang beberapa situasi dalam Gereja dan dunia.

Bapa Suci mengatakan beliau bergabung secara spiritual dengan para peserta retret di Dewan Paulus VI yang berlangsung pada Mac 9-14. Pejabat akhbar Vatikan mengatakan Bapa Suci mengikuti retret itu dari hospital dalam talian.

Retret tersebut dipimpin oleh Fr Roberto Pasolini OFM Cap, pengkhutbah baharu kepausan yang menyampaikan renungan bertema, “Harapan akan kehidupan kekal.”

Sementara itu, Kardinal José Tolentino de Mendonça, prefek Dikasteri Kebudayaan dan Pendidikan Vatikan, dijadualkan memimpin doa rosario untuk Sri Paus Fransiskus di Dataran Santo Petrus pada malam Mac 9. Manakala doa rosari harian didaraskan sebagai sebahagian dari retret Pra-Paskah Kuria Romawi pada Mac10-13.

Semasa dirawat di hospital, para anggota penting Kuria Romawi menggantikan Bapa Suci memimpin Misa Jubli yang telah dijadualkan sejak tahun lalu.

Kardinal Michael Czerny, prefek Dikasteri untuk Mempromosikan Pembangunan Manusia Integral, memimpin Misa penutup Jubli bagi para sukarelawan di Dataran Santo Petrus pada Mac 9 dan membacakan homili yang disiapkan oleh Sri Paus Fransiskus.

Bapa Suci yang telah didiagnosis dengan radang paru-paru berganda dan kesukaran pernafasan lain, menjalani terapi termasuk latihan pernafasan dan terapi fizikal, kata pejabat akhbar.

Beliau juga terus menggunakan pengudaraan mekanikal noninvasive dengan topeng pada waktu malam dan oksigen aliran tinggi melalui ventilator pada siang hari.

Doktor tidak memberi sebarang laporan untuk siaran akhbar pada Mac 9 memandangkan hasil ujian makmal dan keadaannya tetap stabil.

Pejabat akhbar itu berkata kestabilan kesihatan Sri Paus adalah semula jadi merupakan tanda beransur pulih dan beliau juga dilaporkan tidak mengalami demam serta tahap oksigen “telah bertambah baik”. --Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments