Khabar Sri Paus Fransiskus: Pertemuan Yesus, Nikodemus, membawa harapan

Sri Paus Fransiskus pada Mac 19 lalu memulakan satu siri refleksi mengenai pertemuan Yesus dengan pelbagai individu dalam Injil.

Mar 28, 2025


VATIKAN: Sri Paus Fransiskus pada Mac 19 lalu memulakan satu siri refleksi mengenai pertemuan Yesus dengan pelbagai individu dalam Injil.

Menurut Bapa Suci, “Terdapat pertemuan yang menyedarkan kehidupan dan membawa harapan,” tulis Sri Paus, yang membicarakan salah satu pertemuan yang sangat menarik iaitu pertemuan Yesus dan Nikodemus.

“Nikodemus merupakan seorang lelaki yang mahu keluar daripada kegelapan dan mencari keberanian untuk mengikuti Kristus.”

Yesus menerangi kegelapan hati
Dalam Injil Sto Yohanes, Nikodemus , seorang Farisi dan pemimpin orang-orang Yahudi, pertama kali datang kepada Yesus pada waktu malam, tetapi beliau juga yang akhirnya datang dengan berani untuk meminta jenazah Yesus setelah penyaliban.

Sri Paus Fransiskus menjelaskan bahawa dalam Injil Yohanes, malam itu mungkin melambangkan kegelapan keraguan dalam hati Nikodemus. “Jika anda berada dalam kegelapan, sudah tentu anda mencari cahaya ... oleh sebab itu, Nikodemus mencari Yesus kerana dia telah merasakan bahawa dia dapat menerangi kegelapan hatinya.”

Pada mulanya, Nikodemus tidak dapat memahami apa yang dikatakan Yesus kepadanya “kerana dia terus berfikir dengan logik dan pemahamannya sendiri ... Dia merasakan keperluan untuk perubahan, tetapi tidak tahu di mana untuk bermula”

Sri Paus menjelaskan, “Dalam mencari cara baharu untuk mencintai yang pasti berlaku kepada kita semua pada satu ketika dalam kehidupan kita — terletak pada keupayaan untuk berubah, untuk mencari cara baharu menyayangi,” kata Fransiskus.

Prelatus itu menjelaskan Yesus menyebut “kelahiran baharu” dalam perbualannya dengan Nikodemus.

“Jika kita membenarkan Roh Kudus menjana kehidupan baharu di dalam kita, kita akan dilahirkan semula. Kita akan menemui semula kehidupan yang mungkin sudah memudar dalam diri kita,” kata Sri Paus.

Tambahnya, Nikodemus menunjukkan kepada kita bahawa perubahan ini memang boleh berlaku. Walaupun kita kadang-kadang takut berubah, Roh Kudus mendorong kita untuk menghadapi ketakutan kita.

“Nikodemus, seperti kita semua, dapat melihat Dia yang disalibkan, yang mengalahkan kematian, akar semua ketakutan kita,” ujar Bapa Suci.

“Marilah kita mengangkat pandangan kita kepada yang mereka telah menusuk, marilah kita juga dipenuhi oleh Yesus, di dalamnya kita dapati harapan untuk menghadapi perubahan dalam kehidupan kita dan dilahirkan semula.”

Semasa menulis katekesis untuk audiens umum, Sri Paus Fransiskus masih meneruskan rawatan pemulihannya dari radang paru-paru di Hospital Gemelli Roma. --Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments