Kita akan dihakimi berdasarkan perilaku kita terhadap sesama

Paus Fransiskus mendedikasikan khutbah hariannya pada Mac 7 lalu mengenai kebaikan amal bahawa umat seharusnya tidak perlu segan untuk menyentuh mereka yang menderita.

Mar 14, 2014

VATIKAN: Paus Fransiskus mendedikasikan khutbah hariannya pada Mac 7 lalu mengenai kebaikan amal bahawa umat seharusnya tidak perlu segan untuk menyentuh mereka yang menderita.

“Jangan malu untuk menyentuh saudara-saudari kita, mereka adalah sedarah dengan kita! Kita akan dihakimi melalui layanan dan tingkah laku kita terhadap orang lain,” tegas Bapa Suci.

Bapa Suci memimpin Misa hariannya di chapel Kediaman Sta Martha. Beliau memulakan renungannya dengan mengimbas pembacaan Injil dari Injil Matius di mana orang-orang Farisi mengkritik Yesus dan pengikut-pengikut-Nya yang tidak berpuasa.

Sikap yang mematuhi peraturan dan agama semata-mata amat bertentangan dengan etika yang diamalkan oleh Yesus. Menurut Sangti Papa, Yesus tidak berasa segan apatah lagi jijik untuk merendahkan diri, tunduk dan memeluk mereka yang menderita.

“Orang-orang Farisi tersebut taat kepada peraturan tetapi menolak anugerah cinta kasih. Mereka kelihatan orang-orang beriman tetapi tidak beretika kerana mereka tidak menghormati maruah orang lain.”

Bapa Suci juga memetik kata-kata daripada nabi Yesaya bahawa kebajikan sejati atau amal puasa yang sebenar ialah melalui berkongsi makanan dengan mereka yang lapar, membukakan pintu rumah kita kepada mereka yang tidak berumah, memberi pakaian kepada mereka yang tidak mempunyai pakaian di mana semua amalan ini dapat memutuskan rantaian jahat iblis.

“Inilah amal kasih dan puasa yang Tuhan mahukan. Tuhan mahu kita bermurah hati dan prihatin kepada orang lain, bukannya malu untuk mendekati mereka.”

“Kekudusan penuh hanya akan tercapai apabila kita menjadi sebahagian daripada kehidupan orang lain dan menjangkau mereka yang memerlukan. Tindakan yang kudus adalah berkaitan dengan aksi kita terhadap sesama, saudara sedarah kita dalam Yesus Kristus!”

“Misteri Tubuh dan Darah Kristus bermakna kita berkongsi roti yang kita ada dengan mereka yang lapar, menjaga mereka yang sakit, orangorang tua dan melayani mereka yang tidak dapat memberikan kita apa-apa balasan. Jangan malu untuk melakukan kebaikan di kalangan saudara sedarah kita dalam Yesus!" Paus Fransiskus menyatakan Orang Samaria yang Baik Hati sebagai model terbaik dalam kebajikan dan puasa kerana dia sanggup berhenti, merendahkan diri, memangku seorang yang cedera parah berbanding seorang imam yang lalu di situ tetapi tidak mempedulikan orang yang cedera tersebut, mungkin kerana takut dijangkiti oleh penyakit."

Paus turut memberikan beberapa soalan sebagai soalan renungan peribadi, “Adakah saya malu untuk melakukan kebaikan di kalangan saudara sedarah dengan Kristus? Apabila saya bersedekah, adakah saya juga menyentuh tangan peminta sedekah atau tangan orang lain? Apabila saya memberikan sedekah, adakah saya melihat mata saudara dan saudari kita? Apabila saya mengetahui seseorang sedang sakit, adakah saya melawat dia? Adakah saya menyambut seseorang dengan mesra dan dalam semangat persahabatan?”

Pada penutup khutbahnya, Paus Fransiskus bertanya satu lagi soalan, “Adakah kita berani untuk memeluk mereka yang sakit, orang tua, kanakkanak atau adakah kita sudah tidak tahu menghayati makna kasih sayang dan prihatin?”

“Orang-orang yang hipokrit tidak mampu memeluk orang lain kerana mereka sudah lupa bagaimana untuk melakukannya. Mereka akan dihakimi melalui cara mereka melayani sesama.” -- CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments