Kunjungan OFS Telipok ke Rumah Kebajikan Jireh
Kumpulan Ordo Francisanus Sacularis (OFS) dari Holy Family, Telipok yang melawat ke Rumah Kebajikan Jireh pada April 5 lalu, tertarik dengan kisah dua orang penghuni remaja di situ iaitu Ryan dan Everlyn.
Apr 18, 2025

TUARAN: Kumpulan Ordo Francisanus Sacularis (OFS) dari Holy Family, Telipok yang melawat ke Rumah Kebajikan Jireh pada April 5 lalu, tertarik dengan kisah dua orang penghuni remaja di situ iaitu Ryan dan Everlyn.
Rumah Kebajikan Jireh yang ditubuhkan pada tahun 2006 merupakan sebuah pusat kebajikan berdaftar Kristian yang menyediakan perlindungan dan tempat tinggal bagi kanak-kanak serta remaja yang kurang berkemampuan.
Melalui gabungan disiplin, sokongan pendidikan, dan aktiviti kerohanian, Rumah Kebajikan Jireh menyalurkan harapan dan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang tidak berkemampuan.
Dua orang remaja yang ditemui, Ryan, dari Keningau, menetap di Jireh Home sejak berumur 10 tahun.
Katanya, “Saya suka tinggal di sini kerana semua keperluan seperti makan, minum, dan tempat tinggal disediakan dengan selesa. Saya juga memiliki ramai kawan di sini,” jelasnya.
Sebelum ini, Ryan mengakui bahawa konflik keluarga menyekat peluangnya untuk terlibat dalam aktiviti keagamaan di kampung. Namun, sejak berada di Jireh Home dia mula aktif dalam program kerohanian. Sementara itu, Everlyn, 19, mengakui bahawa hidupnya berubah setelah tinggal di Jireh Home.
Sebelum itu, Everlyn terpaksa berhenti sekolah semasa tingkatan 1 kerana keluarganya tidak berkemampuan.
“Saya bersyukur kerana di Jireh Home saya berpeluang untuk menyambung persekolahan,” kata Everlyn seraya menyatakan bahawa dia menemui makna baharu tentang kekeluargaan di Jireh Home.
Lawatan OFS pada hari itu, bukan sahaja beramah mesra dengan penghuni Jireh Home tetapi menyampaikan bantuan makanan seperti beras.
Bantuan itu diberikan oleh Sr Mathilda Gomuru FSIC, mewakili OFS kepada Pengurus Jireh Home, Sdri Zahira Mugong. --Evelyn Justine
Total Comments:0