Marilah bersukacita kerana kita memiliki iman!
Berita tentang kebangkitan Kristus didalam Injil karangan Markus, Matius, Lukas dan Yohanes cukup bervariasi.
Apr 18, 2025

HARI RAYA KEBANGKITAN YESUS
KIS 10:34A. 37-43
KOL 3:1-4
INJIL YOHANES 20:1-9
Berita tentang kebangkitan Kristus didalam Injil karangan Markus, Matius, Lukas dan Yohanes cukup bervariasi.
Tetapi pada dasarnya, keempat-empat Injil itu mewartakan inti khabar gembira yang sama, iaitu Yesus dari Nasaret, seperti ditegaskan oleh Petrus dalam Kisah Rasul, “telah dibunuh dan digantung di kayu salib” telah bangkit kembali.
Dalam Injil Yohanes hari ini, hanya orang yang memiliki mata kasih dapat memahami kematian dan kebangkitan Yesus sebagai ungkapan kasih yang tiada batasnya. Dalam kisah tentang kebangkitan Kristus itu terserlah peranan kasih yang luar biasa dalam kisah kebangkitan ini.
Maria Magdalena yang telah dibebaskan Yesus dari tujuh syaitan, sangat mengasihi Yesus, merupakan orang pertama yang datang ke makam Yesus.
Namun Maria mendapati makam itu kosong! Memang seorang yang pernah dikasihi akan mencari orang yang mengasihinya.
Kasih selalu pertama-tama memperhatikan orang yang dikasihinya. Dalam Injil hari ini, dua orang murid Yesus, iaitu Petrus dan Yohanes juga datang ke makam Yesus.
Petrus yang masuk lebih dahulu, sebab dia adalah pemimpin para murid yang harus menjadi saksi utama tentang segala sesuatu yang telah terjadi.
Tetapi Yohanes, yang menyebut dirinya sebagai “yang dicintai Yesus” adalah yang pertama percaya bahawa Yesus telah bangkit.
Sesungguhnya kasih selalu lebih peka dan lebih cepat melihat serta menafsirkan setiap tanda yang berkaitan dengan keadaan orang yang dikasihinya.
Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan bahawa kasih memainkan peranan begitu sentral dalam peristiwa Paskah iaitu ketika murid-murid Yesus menemukan kebangkitan Yesus!
Seluruh peristiwa Paskah iaitu wafat dan kebangkitan Yesus merupakan suatu pernyataan kasih kepada manusia.
Dalam kebangkitan Yesus sangat terserlah keagungan kasih Tuhan bagi setiap orang yang mempunyai mata dan dapat melihat! Memang, orang yang dapat atau mampu melihat, hanyalah orang yang memiliki mata kasih .
Kasih Tuhan hanya dapat dilihat dan difahami secara benar oleh orang yang mencintai Yesus secara benar pula!
Sebaliknya orang-orang yang membenci Yesus, yang mengikuti dan menyetujui keputusan mahkamah agung agama Yahudi dan yang menyerahkan Yesus kepada Pilatus untuk membinasakan Dia, — mereka ini ketika mendengar bahawa makam Yesus kosong, berasa cemas dan khuatir, bahawa seluruh usaha mereka menyingkirkan Yesus gagal total.
Mereka mencari fitnah dan mengabarkan bahawa murid-murid Yesus mencuri jenazah-Nya, untuk mematikan kembali Yesus dan perutusan-Nya.
Hanya kasihlah yang dapat memahami makna kebenaran Paskah. Ini bererti, jika kita mahu memahami kematian dan kebangkitan Yesus sebagai ungkapan dan pernyataan kasih Ilahi kepada kita manusia, maka Roh kasih Tuhan harus membuka dahulu mata kasih kita di dalam hati kita!
Maka marilah kita bergembira, bahawa kita memiliki iman, dan kita patut bersyukur kepada Tuhan, kerana Dia telah membuka mata kasih kita.
Dengan mata kasih itu, sebagai dimiliki oleh Yohanes, murid Yesus, kita dapat menerima, mengalami dan melihat kasih Tuhan yang luarbiasa kepada kita lewat Yesus Kristus Putera-Nya.
Janganlah kita lupa pula berdoa bagi semua orang, agar mereka pun sanggup melihat dan menerima kebenaran kasih Tuhan dalam diri Yesus Kristus.
Semoga mereka semua akhirnya juga percaya dan ikut mengalami kegembiraan Paskah seperti kita sendiri.
Iman yang teguh akan kasih Tuhan kepada semua orang, yang juga berbahagi kasih dalam diri Yesus Kristus kepada segenap sesama kita. Itulah intisari makna kebangkitan Yesus Kristus, yang kita rayakan. --Msgr F.X Hadisumarta O.Carm
Total Comments:0