Masyarakat Orang Asli Kristian sokong tindakan Gereja

Kami masyarakat Orang Asli sekian lama telah menganut agama Kristian sejak tahun 1848 dan kami masih menggunakan kata "Allah" di dalam Misa Kudus Misa, Ibadat sabda, kelas Minggu, sembahyang, lagu dan pujian. Alkitab yang kami gunakan adalah dalam bahasa Melayu yang mempunyai kata "Allah."

Mar 21, 2014

Salam damai Editor,

Kami masyarakat Orang Asli Roman Katolik di bawah Keuskupan Agung Kuala Lumpur sebulat suara menyokong tindakan yang dibuat oleh Editor Mingguan Katolik HERALD, Fr Lawrence Andrew dan pihak Gereja berkaitan isu "ALLAH" adalah suatu tindakan yang benar kerana:

1. Kami masyarakat Orang Asli sekian lama telah menganut agama Kristian sejak tahun 1848 dan kami masih menggunakan kata "Allah" di dalam Misa Kudus Misa, Ibadat sabda, kelas Minggu, sembahyang, lagu dan pujian. Alkitab yang kami gunakan adalah dalam bahasa Melayu yang mempunyai kata "Allah."

Oleh yang demikian, kami merasa sedih apabila tindakan pihak JAIS Selangor merampas Alkitab adalah satu tindakan yang amat kejam terhadap agama kita serta masyarakat Orang Asli amnya. Tindakan pihak JAIS Selangor itu jelas telah melanggar dan mencabul Hak Kebebasan Beragama seperti yang disebut di dalam Artikel 11, Perlembagaan Persekutuan.

2. Sejarah awal Orang Asli Kristian bermula pada Tahun 1848 iaitu sebelum Tanah Semenanjung Merdeka lagi. Amalan serta penggunaan kata "Allah" memang telah lama kami gunakan sehinggalah ke hari ini.

Oleh itu, kata "Allah" bagi kami memang kata yang sangat mendalam ertinya serta penghormatan yang tertinggi kepada Tuhan kami.

3. Sekiranya pihak yang berkenaan meneruskan juga tujuan mereka (JAIS/Kerajaan) pasti kesannya bukan hanya pada umat gereja di Selangor malah kepada seluruh Umat Orang Asli Kristian di Malaysia.

Oleh yang demikian, kami sebagai umat Kristian Katolik bertanggungjawab untuk bersama mempertahankan isu penggunaan kata "Allah" ini, kerana dalam petikan Alkitab Luk 12:32 tertulis "Janganlah takut hai kamu kawanan kecil!"

Justeru kami mula terasa perlunya bersatu den bersama dalam mempertahankan Hak sebagai umat Kristian Katolik.

Kini kami tidak takut dan gentar kerana bagi kami agama Kristian yang kami anuti adalah agama yang sah dan benar. Walau apa pun terjadi kami tetap terus mengunakan kata "Allah" sampai bila-bila.

4. Dengan ini kami telah mengumpul sebahagian tandatangan sokongan penuh daripada umat kami Orang Asli di bawah Keuskupan Kuala Lumpur, Keuskupan Melaka/Johor serta umat Sabah dan Sarawak yang bergiat bersama kami.

Masyarakat Orang Asli
Kristian Katolik
Keuskupan Agung
KualaLumpur

Total Comments:0

Name
Email
Comments