Meneguhkan keluarga melalui program kehidupan Kristian

Seramai 33 pasangan suami isteri Pelayan Keluarga Tatal telah berjaya menyelesaikan Program Kehidupan Kristian (Christian Life Program CLP) yang dianjurkan oleh CFC Interior Katedral St Francis Xavier, baru-baru ini.

Apr 12, 2025


TATAL, KENINGAU:
Seramai 33 pasangan suami isteri Pelayan Keluarga Tatal telah berjaya menyelesaikan Program Kehidupan Kristian (Christian Life Program CLP) yang dianjurkan oleh CFC Interior Katedral St Francis Xavier, baru-baru ini.

Program ini diadakan di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal, bagi membantu pasangan memperkukuhkan iman dan perkahwinan mereka.

Misa pembukaan disempurnakan oleh Bapa Uskup Cornelius Piong. Dalam homilinya, Bapa Uskup menekankan bahawa keluarga adalah asas Gereja dan masyarakat.

Oleh itu, suami isteri perlu sentiasa mengingat dan setia kepada rencana serta kehendak Tuhan dalam perkahwinan mereka.

Program yang diadakan sempena musim Pra-Paskah itu mengingatkan para peserta bahawa Pra-Paskah adalah kesempatan berharga untuk umat Tuhan menilai, memperbaharui dan memperkukuhkan kesetiaan kepada-Nya.

Sepanjang program ini, peserta mengikuti lapan sesi ceramah yang memberi panduan dalam menjalani kehidupan Kristian.

Program itu diakhiri dengan perayaan Hari Tuhan (Lord’s Day) serta penyampaian sijil kepada semua peserta yang telah menamatkan CLP dengan jayanya. CLP pada tahun ini merupakan siri keempat sejak diperkenalkan di Keuskupan Keningau pada tahun 2022.

Selepas menyertai CLP, peserta yang telah melafazkan dedikasi dalam komuniti CFC akan terus dibimbing melalui sesi pembentukan yang berterusan bagi memperkukuhkan iman dan kehidupan berkeluarga mereka.

Program ini telah membawa banyak manfaat kepada pasangan suami isteri dalam memperkuatkan iman serta membina rumah tangga yang berlandaskan ajaran Kristus. --Melty Paulus

Total Comments:0

Name
Email
Comments