Mengenal dua erti ketakutan

Bukan semua jenis ketakutan berpunca daripada sumber yang sama, begitu juga ketakutan di dalam agama.

Apr 03, 2014

Bukan semua jenis ketakutan berpunca daripada sumber yang sama, begitu juga ketakutan di dalam agama.

Ada ketakutan yang baik dan matang, yang melambangkan kasih serta kematangan. Ada juga tabiat ketakutan yang tidak baik sehingga menghalang pertumbuhan kematangan dan cintakasih. Namun, hal ini mempunyai penjelasannya yang tersendiri.

Terdapat banyak salah faham tentang rasa takut berkaitan dengan hal agama khususnya mengenai petikanpetikan Kitab Suci yang mengatakan bahawa takut kepada Tuhan adalah permulaan kebijaksanaan.

Terlalu kerap teks-teks dan konsep agama seperti ini digunakan untuk menanam rasa takut yang tidak sihat di kalangan umat . Kita harus hidup dalam “ketakutan kudus”, tetapi ketakutan suci adalah sesuatu yang khusus dan ia tidak seharusnya dikelirukan dengan ketakutan-ketakutan biasa yang lain.

Apa itu “ketakutan suci”? Apakah jenis ketakutan-ketakutan yang sihat? Apakah jenis ketakutan yang boleh mencetuskan kebijaksanaan?

Ketakutan suci ialah “ketakutan cintakasih” iaitu sejenis ketakutan yang diilhamkan cinta. Ketakutan cintakasih adalah berdasarkan penghormatan dan mengutamakan orang lain atau perkara-perkara yang kita sukai.

Apabila kita benar-benar mencintai orang lain, kita akan hidup di dalam kebimbangan yang sihat iaitu kita berasa bimbang sekiranya tindakan- tindakan kita agak keterlaluan, mengecewakan, tidak menghormati atau menyinggung perasaan orang lain.

Kita hidup dalam ketakutan suci apabila kita berhati-hati agar tidak mengkhianati kepercayaan atau berhati-hati agar tidak bersikap keterlaluan.

Ketakutan cintakasih sesungguhnya amat berbeza dengan perasaan takut terhadap seseorang atau rasa takut kepada hukuman.

Kuasa atau pemerintah yang tidak adil serta kejam menyebabkan ramai orang yang takut kepada mereka. Tetapi Tuhan tidak pernah menggunakan kuasa-Nya secara untuk menghukum dengan kejam.

Malah, Dia datang ke dunia ini sebagai Bayi yang lemah. Kuasa Tuhan adalah seperti bayi yang tidak terdaya. Bayi tidak akan mengugut atau menakut-nakutkan tetapi bayi memberikan kita inspirasi suci. Biasanya, apabila kita berhadapan dengan seorang bayi, kita akan menjaga tingkah laku dan perkataan kita bukan kerana bayi itu menakutkan kita tetapi kerana kepolosan dan ketidakberdayaan bayi-bayi ini mendorong kita untuk sedaya upaya bersikap cermat dan berhati-hati semasa berdekatan dengan mereka.

Injil bertujuan untuk memberi inspirasi mengenai jenis ketakutan suci seperti ini. Tuhan adalah Kasih, kuasa yang penuh belas kasihan, kuasa yang lemah lembut dan bukan untuk ditakuti. Sesungguhnya Tuhan adalah Orang terakhir yang kita harus takuti. Yesus datang ke dunia untuk membebaskan kita daripada ketakutan. Hampir setiap teophani (kisah penampakan Tuhan) di dalam Kitab Suci (sebagai contoh peristiwa pemberitahuan bahawa Tuhan akan datang) bermula dengan kata-kata, “Jangan takut!” Sebenarnya ketakutan kita bukan berpunca daripada Tuhan.

Dalam kitab-kitab Suci Yahudi, Perjanjian Lama Kristian, Nabi Daud dinyatakan sebagai orang yang paling memahami mengenai hal ini.

Di antara tokoh-tokoh nabi di dalam Perjanjian Lama, termasuklah Musa dan nabi-nabi agung yang lain, Daud digambarkan sebagai contoh terbaik di dalam memahami apakah maksud menjalani hidup di dunia ini dengan membawa imej dan keserupaan dengan Tuhan meskipun pada suatu tahap, dia menyalah gunakan kepercayaan itu.

Meskipun Daud pernah melakukan dosa besar tetapi daripada keturunan Daud inilah Yesus dilahirkan, bukan keturunan Musa atau nabi-nabi lain.

Daud merupakan gambaran Kristus di dalam Perjanjian Lama. Dia hidup di dalam ketakutan suci terhadap Tuhan tetapi tidak pernah menyerah kalah kepada ketakutanketakutan yang tidak sihat.

Sebagai contoh, salah satu peristiwa di dalam Kitab Raja-Raja menceritakan, pada suatu hari, Daud pulang daripada peperangan bersama tentera-tenteranya. Tenteratenteranya berasa lapar. Satu-satunya makanan yang boleh diperoleh pada masa itu ialah roti di dalam Bait Kudus.

Daud meminta makanan tersebut tetapi dia diberitahu bahawa makanan itu hanya boleh dimakan oleh para imam di dalam upacara suci.

Daud menjawab, “Saya seorang Raja yang diutus oleh Tuhan untuk melakukan kehendak-Nya. Biasanya kami tidak meminta roti dari Bait Kudus tetapi ini adalah satu pengecualian, ini adalah hal yang mendesak. Para tentera perlukan makanan dan Tuhan mahu kita bertanggungjawab di dalam hal ini.” Maka dia mengambil roti di rumah ibadat itu dan memberikannya kepada para tentera.

Di dalam Injil, Yesus memuji tindakan Daud dan meminta kita untuk mencontohinya. Yesus memberitahu bahawa kita bukan dicipta untuk hari Sabat tetapi hari Sabat dicipta untuk kita.

Daud memahami peraturan Tuhan. Malah, dia memahami bahawa taat kepada Tuhan bukanlah mengenai setia kepada peraturanperaturan Tuhan sahaja tetapi harus bersikap berbelas kasihan dan berdaya cipta di dalam hidup ini.

Daud takut kepada Tuhan tetapi ketakutan Daud ialah ketakutan suci di mana ia bukan berpunca daripada ketakutan terhadap undang-undang. Seorang ibu muda pernah menceritakan sebuah kisah kepada saya: Anaknya yang berusia enam tahun, baru sahaja memulakan alam persekolahan. Dia telah mengajar anaknya untuk berlutut di tepi katil pada setiap malam sebelum tidur dan membaca doa malam.

Pada suatu malam, selepas anak itu memulakan pembelajarannya di sekolah, si anak melompat ke katil tanpa berdoa. Si ibu terkejut melihat tingkah laku si anak dan bertanya, “Kamu tidak mahu berdoa lagi?” Si anak menjawab, “Tidak. Guru di sekolah memberitahu kami bahawa kita tidak seharusnya berdoa tetapi dia mengatakan kita seharusnya berbual dengan Tuhan ... lagipun malam ini saya penat dan tidak ada apa yang saya mahu katakan!”

Seperti Raja Daud, anak itu memahami makna sebenar menjadi anak Tuhan dan bagi yang mengasihi Tuhan, peraturan Tuhan seharusnya ditaati dengan semangat berbelas kasihan yang mendorong kepada ketakutan suci. -- Fr Ron Rolheiser @ Hakcipta Terpelihara 1999-2014

Total Comments:0

Name
Email
Comments