Menghadapi cabaran pastoral keluarga dengan Amoris Laetitia
Majlis Pastoral Paroki Katedral St Mary telah menganjurkan Perhimpunan Pastoral Paroki (PPP) kali kelima baru-baru ini.
Apr 18, 2025

SANDAKAN: Majlis Pastoral Paroki Katedral St Mary telah menganjurkan Perhimpunan Pastoral Paroki (PPP) kali kelima baru-baru ini.
PPP itu turut dihadiri oleh Fr Simon J. Kontou selaku penolong paderi paroki, Fr Mitchelly Kiun, Diakon Ricki Boy Hasim, para religius dan wakil-wakil komiti atau kerasulan.
PPP itu menelaah “Amoris Laetitia” (Sukacita Kasih), dokumen Sri Paus Fransiskus yang menekankan topik yang berkaitan dengan perkahwinan dan keluarga.
Perbualan dalam Roh juga diselitkan bagi perbincangan dalam kumpulan.
Fr Simon J. Kontou secara rasmi membuka perhimpunan itu. Beliau menyatakan bahawa PPP yang pertama bermula pada 2018 dengan 80 orang peserta. Manakala pada tahun 2014 dan 2015, dua sinode telah dijalankan yang memberi tumpuan kepada panggilan dan peranan keluarga dalam Gereja dan dunia.
Kedua-dua sinode itu menghasilkan laporan akhir yang dikeluarkan pada tahun 2016.
PPP ini menggunakan “Amoris Laetitia” untuk mengupas realiti dunia hari ini di mana keluarga menghadapi pelbagai cabaran seperti perpisahan, penceraian, tinggal bersama tanpa perkahwinan, tidak mahu anak dan sebagainya.
Fr Simon mengatakan disebabkan pelbagai cabaran dalam keluarga, maka beliau mengajak umat untuk membaca dokumen “Amoris Laetitia” tanpa tergesa-gesa.
Beliau menjemput para peserta untuk menyedari betapa pentingnya PPP dalam menerangi kehidupan rohani umat, sama ada sekarang atau masa depan.
Fr Simon menjelaskan bahawa dokumen “Amoris Laetitia” dapat membawa umat dalam perjalanan sukacita dan mengendalikan cabaran perkahwinan dan keluarga.
Dokumen itu menekankan bahawa panggilan perkahwinan adalah hadiah daripada Tuhan dan tidak dapat disangkal. Sudah tentu tidak semua orang dipanggil untuk berkahwin. Terdapat juga individu yang dipanggil menjadi paderi dan religius.
Pada masa yang sama, “Amoris Laetitia” menekankan pelayanan pastoral keluarga dan pendidikan kanak-kanak.
Oleh sebab itu, para peserta digalakkan untuk mengkaji “Amoris Laetitia” kerana ia memimpin umat untuk menyedari apa yang dikehendaki oleh Gereja Katolik.
Total Comments:0