Nelbart Peter, paderi baharu dari Kg Simbuan, Sook

Paroki Roh Kudus Sook menerima paderi keempat kelahiran daerah Sook apabila Diakon Nelbart Peter telah diangkat ke jabatan imamat pada Mac 2, 2025 di Gereja Katolik Roh Kudus Sook.

Mar 22, 2025

Paderi yang baharu ditahbis, Fr Nelbart Peter memberikan berkat pertamanya sebagai paderi kepada Uskup Cornelius Piong


SOOK:
Paroki Roh Kudus Sook menerima paderi keempat kelahiran daerah Sook apabila Diakon Nelbart Peter telah diangkat ke jabatan imamat pada Mac 2, 2025 di Gereja Katolik Roh Kudus Sook.

Ribuan umat katolik dari seluruh Keuskupan Keningau hadir dalam Misa Pentahbisan Imamat yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong.

Dengan tema, “Tuaian memang banyak tetapi pekerjanya sedikit” (Lukas 10:2), ritus pentahbisan pada petang Ahad itu bermula apabila paderi paroki mempersembahkan Diakon Nelbart kepada Uskup untuk ditahbiskan sebagai paderi.

Diakon Nelbart berdiri di hadapan prelatus yang menanyakan soalan akan komitmennya untuk melakukan tugasan Jabatan Imamat.

Selepas Bapa Uskup memberikan amanat kepada calon paderi, para klerus dan umat berlutut sementara Diakon Nelbart merebahkan diri di hadapan altar dan litani para kudus dinyanyikan.

Selepas litani dan prelatus mengucapkan doa, Fr Nelbart menerima penumpangan tangan daripada para klerus yang hadir. Ini diikuti dengan pemakaian kasula.

Ritus pentahbisan berakhir selepas para klerus yang hadir memberikan pelukan damai kepada Fr Nelbart diikuti tepukan gemuruh oleh umat.

Mengimbas semula perjalanan pembentukan Fr Nelbart, beliau mula memasuki Rumah Pembentukan Catholic Diocese Centre (CDC) di Kota Kinabalu pada tahun 2015.

Kemudian, memasuki St Peter’s College, Kuching untuk memulakan Tahun Teologi pada tahun 2020 hingga Mei.

Seterusnya beliau menjalankan pastoral dan pelayanan di St Theresa, Tambunan pada Januari hingga Februari dan Jun hingga Oktober 2024.

Pada November 10, 2024, Nelbart telah ditahbis menjadi Diakon di Dataran Keuskupan Keningau oleh Uskup Cornelius Piong.

Dalam sesi ucapan, Fr Nelbart menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada semua peribadi atas doa dan sokongan yang diberikan sepanjang dalam perjalanan pembentukannya sehingga pada saat beliau ditahbiskan menjadi paderi.

“Terima kasih atas doa kamu untuk diri ini. Pentahbisan ini bukan untuk saya tetapi untuk kita semua,” katanya.

Sementara itu, Uskup Cornelius dalam ucapannya menyatakan rasa syukur dan berharap agar melalui pentahbisan Fr Nelbart, umat khususnya para belia lebih peka terhadap panggilan Tuhan.

Prelatus itu amat bersyukur atas pentahbisan Fr Nelbart kerana ketika prelatus melayani di Kampung Simbuan 47 tahun yang lalu, Kampung Simbuan masih baharu dibuka, masih dikelilingi hutan dan pada tahun ini, Tuhan mengizinkan beliau melihat seorang belia dari Kampung Simbuan menjadi paderi.

Prelatus itu turut menyampaikan pesanan kepada para paderi agar sentiasa mempunyai kesungguhan dalam pelayanan. “Melayanilah dengan sungguh kerana kita sudah dipilih, diutus, ditopang oleh Tuhan. Jangan sia-siakan penyertaan Tuhan supaya pelayanan kita membawa harapan kepada umat yang kita layani,” katanya.

Di penghujung ucapannya, prelatus juga telah mengumumkan bahawa Fr Nelbart ditugaskan untuk melayani di Gereja St Theresa Tambunan. Lynn Jipanis

Total Comments:0

Name
Email
Comments