Paderi lihat bencana sebagai peluang bersatu dan dialog antara agama

Seorang paderi Gereja di Mandalay Myanmar yang telah dilanda gempa bumi, mengatakan penderitaan yang disebabkan oleh bencana tersebut sebagai peluang untuk persatuan dan dialog antara agama di negara itu.

Apr 18, 2025


YANGON:
Seorang paderi Gereja di Mandalay Myanmar yang telah dilanda gempa bumi, mengatakan penderitaan yang disebabkan oleh bencana tersebut sebagai peluang untuk persatuan dan dialog antara agama di negara itu.

“Penderitaan ini juga menjadi peluang untuk dialog antara agama yang mendalam,” kata Fr Peter Kyi Maung, Vikaris Jeneral Keuskupan Agung Mandalay, pada April 7 lalu.

Fr Peter mengatakan Uskup Agung Mandalay , Uskup Marco Tin Win terus bertemu para mangsa, berbual, menyampaikan kata-kata semangat dan berdoa bersama para mangsa dan orang sakit, yang sebahagian daripada mereka beragama Buddha.

Katedral Hati Kudus di Mandalay juga telah menjadi tempat perlindungan bagi para mangsa gempa bumi “tanpa memandang suku atau agama,” katanya.

“Umat paroki turut bekerja keras demi meringankan penderitaan para mangsa gempa bumi yang meliputi umat Kristian, Buddha, Islam dan Hindu.

Para relawan Katolik telah mengumpulkan sumbangan dan membahagi-bahagikan bantuan seperti makanan, air, ubat-ubatan, tempat penampungan darurat, dan kelengkapan kebersihan kepada orang-orang yang rumahnya hancur akibat gempa bumi.

“Pekerjaan yang mendesak sekarang adalah membantu mereka yang berada di jalanan,” kata Joseph Kung, seorang umat Katolik.

Mereka memerlukan air minum dan makanan. Sekarang ada risiko kolera, penyakit pernafasan dan penyakit kulit kerana tahap kebersihan yang buruk,” kata Kung.

Gempa bumi yang melanda Myanmar pada Mac 28 telah menyebabkan lebih 19 juta rakyat Myanmar memerlukan bantuan makanan dan pembaikan semula rumah, bangunan serta ekonomi. --ucanews.com

Total Comments:0

Name
Email
Comments