Penderitaan yang menyelamatkan!
Tetapi secara realiti, apabila dilihat dari segi lain, penyakit dan kematian belum selalu dapat diatasi atau dicegah sepenuhnya.
Feb 06, 2021

HARI MINGGU BIASA V TAHUN B
Ayub 7:1-4.6-7
Korintus 9:16-19.22-23
Injil Markus 1:29-39
Apa pesanan Yesus dalam Injil hari ini?
Daripada apa yang dilakukan Yesus hari ini, marilah kita merenungkan makna penyembuhan orang sakit. Sekarang ini meskipun belum merata dan belum dirasakan oleh semua orang, masyarakat kita mengalami perubahan dan perkembangan sosial positif yang menggembirakan, antara lain kemajuan di bidang kesihatan/bidang perubatan. Berkat adanya kemajuan pengetahuan dan teknik di bidang kesihatan, makin besarlah harapan orang sakit untuk sembuh kembali.
Tetapi secara realiti, apabila dilihat dari segi lain, penyakit dan kematian belum selalu dapat diatasi atau dicegah sepenuhnya. Itulah hakikatnya kita sebagai manusia! Yang harus sembuh bukan hanya tubuh kita, tetapi juga jiwa kita! Iman kita dapat meringankan keadaan manusiawi kita itu. Dengan iman yang mantap kita dapat memberi makna dan nilai penderitaan dan kematian orang beriman Kristian secara positif.
Ramai orang berpendapat bahawa penyakit dan penderitaan berkaitan erat dengan dosa. Penyakit dan penderitaan dilihat sebagai akibat dosa. Tetapi kenyataannya banyak orang yang baik dan soleh menderita, dan banyak juga orang yang berdosa pula dapat hidup dengan baik dan selesa.
Dalam ajaran dan penampilanNya Yesus mengubah pandangan tentang dosa dan penyakit atau penderitaan itu. Dalam Injil misalnya diceritakan, bahawa ketika Ia mengusir syaitan dan menyembuhkan orang-orang sakit, di situ dikatakan: “Dialah yang memikul kelemahan kita dan menanggung penyakit kita” (Mat 8:17).
Nah, di dalam Injil itu diwartakan kepada kita suatu khabar baru, khabar gembira. Apakah khabar baru itu? Khabar baru itu ialah, bahawa salib di mana Yesus tergantung memberi erti yang baru tentang adanya penyakit dan penderitaan yang dialami manusia.
Penyakit atau penderitaan bukan lagi kita alami sebagai hukuman, melainkan sebagai penebusan dan pembebasan, seperti dialami Yesus. Penyakit yang kita alami atau derita menyatu kan kita dengan Yesus, yang menguduskan dan memurnikan jiwa kita. Kita masing-masing dan bersama-sama memang harus mengusahakan sebanyak mungkin penyembuhan dan pembebasan diri kita daripada penyakit dan penderitaan. Namun dengan iman dan doa ikhtiar kita itu harus kita lihat dan kita hayati juga sebagai persiapan untuk menyambut kedatangan suatu saat, suatu hari, di mana air mata penderitaan kita tidak akan mengalir lagi.
Di situ penyakit ataupun penderitaan tidak akan ada lagi. Kita akan bangkit seperti Yesus. Di depan Basilika Agung Santo Petrus di Roma, Sri Paus Beato Yohanes Paulus II pernah ditembak untuk dibunuh oleh seorang pembunuh upahan Turki. Sesudah sebagai akibatnya beliau harus menanggung derita cukup lama,Sri Paus Yohanes Paulus II ini menulis Surat Apostolik (semacam Ensiklik), yang berjudul “Salvifici Doloris”, ertinya “Penderitaan yang menyelamatkan”.
Di situ Sri Paus menulis:“ Menderita bererti dapat secara khusus menerima atau secara khusus menjadi terbuka terhadap karya kekuatan Tuhan, yang menyelamatkan, yang diberikan kepada umat manusia dalam Kristus” (SD 23).
Keadaan sakit atau penderitaan membuka bagi kita suatu hubungan antara kita dan Yesus di salib, suatu hubungan komunikasi yang istimewa. Orang beriman yang sakit bukanlah seorang anggota Gereja yang pasif, sebaliknya warga Gereja yang sangat berharga! Sebab bagi Tuhan, apabila kita sehari menderita dengan sabar dan tabah, itu lebih berharga daripada kegiatan apa pun dan betapa banyaknya pun, apabila semua itu dilakukan hanya untuk diri sendiri! -
Orang sakit memang memerlukan perhatian, pelayanan, rawatan dengan kepakaran dan alat-alat perubatan. Namun ia juga lebih-lebih memerlukan harapan.
Tiada ubat apa pun akan meringankan dan menyembuhkan penyakit atau penderitaan yang melebihi kata-kata doktor yang diucapkan kepada pesakit: “Hatiku penuh harapan bahawa anda akan sembuh!” Ucapan penuh harapan doktor itu ibaratkan “oksigen” mujarab bagi si pesakit! Orang sakit tak boleh diperlakukan sekadar sebagai objek, jangan dibiarkan saja dan ditinggalkan sendirian. Kita ingat akan kata-kata Yesus, yang berbicara tentang pengadilan terakhir: “Ketika aku sakit, kamu melawat Aku” (Mt 25:36), tetapi juga: “Ketika Aku sakit dan dalam penjara, kamu tidak melawat Aku” (Mat 25:43). Sikap dan perlakuan kita terhadap sesama adalah perlakuan kita terhadap Yesus Kristus sendiri! — Iman Katolik
Total Comments:0