Pengalaman unik berziarah ke KSFX, Keningau
Katedral St Francis Xavier (KSFX) merupakan salah satu tempat ziarah di Keuskupan Keningau sepanjang Tahun Jubli 2025 ini.
Mar 15, 2025

KENINGAU: Katedral St Francis Xavier (KSFX) merupakan salah satu tempat ziarah di Keuskupan Keningau sepanjang Tahun Jubli 2025 ini.
Baru-baru ini, Tim LOT Ziarah KSFX telah menerima 300 penziarah daripada KKD Service Team. Dalam ziarah itu, selepas pendaftaran, para penziarah mendengar taklimat dan katekesis mengenai tema Tahun Jubli 2025, “Harapan tidak mengecewakan” (Roma 5:5, AVB).
Selepas itu, para penziarah berdoa Jalan Salib di Dataran Keuskupan Keningau.
KSFX dikelilingi dengan patung-patung rohani seperti patung St Francis Xavier, Sta Faustina dan Keluarga Kudus. Penziarah juga dapat berdoa di hadapan Imej Bonda Maria dari Gunung Kinabalu, Salib Belia atau di hadapan relik kelas pertama Sto Francis Xavier.
Ziarah tidak akan lengkap tanpa Misa Kudus. Sebelum Misa, diadakan perarakan dari Dataran Keuskupan Keningau menuju KSFX.
Misa Kudus dan Sakramen Pengakuan diberikan kepada penziarah yang datang bersama rombongan melebihi 30 orang.
Penziarah disaran untuk mencari paderi pendamping sendiri bagi membantu kelancaran ziarah.
Selepas Misa, penziarah digalakkan untuk mengambil Sabda Pengharapan yang diletakkan di hadapan Katedral St Francis Xavier sebagai bahan refleksi peribadi.
Untuk membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut ziarah ke KSFX, umat boleh menghubungi Sr Liza Jamat FSIC (013- 549 379); Lily Yen (019-872 2882) atau melalui pautan berikut: https:// forms.gle/wLoFWrd5nR9NBC5o6. --Juanis Marcus
Total Comments:0