Penulis Berkicau: Kristus HIDUP dalam MCYD

Unggahan berani seorang bekas peserta Malaysian Catholic Youth Day 2025 telah tular di sebuah platform media sosial.

Apr 18, 2025


Unggahan berani seorang bekas peserta Malaysian Catholic Youth Day 2025 telah tular di sebuah platform media sosial. Menggredkan 3/10 acara besar yang menghimpunkan belia Katolik Malaysia, yang julung kalinya mungkin satu tindakan berani, naif, bodoh atau mencari populariti?

Saya enggan mengulas kerana sudah ramai paderi, religius, pemimpin belia Katolik, orang-orang lama dalam Gereja yang sudah menjawab “rating ” yang diberikan oleh belia tersebut.

Lebih-lebih lagi saya mengenal beberapa orang kuat di sebalik MCYD 2025 yang sangat berpengalaman dan selalu menghadiri Pesta Belia di peringkat dunia.

Saya menyebut beberapa orang daripadanya iaitu Sdra Roney Eming dan Sdri Anna Theresa Amandus. Roney, Koordinator MCYD 2025, telah memegang jawatan Pengerusi Kerasulan Belia dan Pelayanan Kampus lebih 10 tahun dan menghadiri pelbagai pesta belia di peringkat Asia dan dunia. Beliau juga merupakan salah seorang perwakilan belia Malaysia yang menghadiri Kongres Belia di Roma bersama Sri Paus Fransiskus pada Mei tahun lalu.

Sdri Anna Teresa Amandus dari Keuskupan Sandakan, seorang wanita ceria dan pernah memegang jawatan Ketua Kerasulan Belia untuk Keuskupan Sandakan.

Anna merupakan perwakilan Malaysia ke Sinode para Uskup di Roma pada 2023 dan 2024. Semasa MCYD, beliau telah menyampaikan sesi “My personal Journey: Synod on synodality”.

Pengalaman hebatnya di Roma juga pernah disiarkan dalam laman sesawang Herald bertajuk “Anna in Rome”.

Keluarga angkat untuk peserta MCYD 2025 juga amat mengagumkan. Ramai ibu bapa yang saya kenali mengambil bahagian. Ia bukan sekadar menyediakan tempat tinggal tetapi membuka hati untuk bermurah hati.

Seorang keluarga angkat yang saya kenali, bekerja lebih 'keras' kerana anak-anak angkatnya mempunyai masalah alergi. Puji Tuhan, dia tidak serik malah berbangga kerana anak-anak angkat itu selalu menghubungi dan mereka akan melawatnya lagi.

Semangat tiga orang uskup agung yang bersama dengan para belia selama enam hari, memberi inspirasi ramai anak muda. Saya pasti, keramahan dan sukacita yang ditunjukkan oleh tiga orang uskup agung ini memberi semangat kepada ramai anak muda agar semakin berani menyahut panggilan menjadi paderi dan religius selepas MCYD!

Semasa Misa pengutusan MCYD, Blaise Yong dari Keuskupan Keningau, juga telah membuka mata para peserta MCYD. Blaise merupakan peserta kurang upaya penglihatan. Dia menyeru para belia yang lengkap lima pancaindera agar membantu belia kurang upaya, agar mereka tidak tercicir dalam program-program Gereja!

Apa pun, Kristus hadir dalam setiap sesi dan detik semasa MCYD. Saya percaya Kristus HIDUP dalam semua Misa Kudus, Perbualan Dalam Roh, pujian, penyembahan, Adorasi ... semasa MCYD.

Dan kini, para belia Katolik akan terus mewartakan Khabar Gembira bersama Perjalanan Salib di Keuskupan masing-masing!

Total Comments:0

Name
Email
Comments