Peranan wanita sentiasa dihargai dan diiktiraf Gereja
Bulan Mac selalu dikaitkan dengan wanita. Sebagai seorang wanita, saya amat bangga kerana Paus Fransiskus dan para pendahulunya sentiasa meninggikan martabat wanita dalam Gereja.
Mar 28, 2014
Salam damai Editor,
Bulan Mac selalu dikaitkan dengan wanita. Sebagai seorang wanita, saya amat bangga kerana Paus Fransiskus dan para pendahulunya sentiasa meninggikan martabat wanita dalam Gereja.
Wanita Katolik sesungguhnya sangat bertuah kerana kedudukan kami sentiasa setara dengan kaum pria. Berbanding dengan ajaran agama lain yang melecehkan peranan wanita malah ada pula budaya yang menganggap wanita hanya golongan menyusahkan atau tidak ada hak mendapat pendidikan.
Di India misalnya, ada budaya yang memandang rendah pada wanita sehingga bayi perempuan dibunuh atau dibiarkan. Akibatnya, tidak ramai wanita di dalam sesebuah masyarakat sehingga mereka menculik atau membeli pengantin ‘perempuan’ lalu dijadikan hamba untuk melahirkan anak serta pemuas nafsu.
Paus Fransiskus sendiri menyatakan bahawa wanita adalah anugerah Tuhan kepada umat manusia. Katanya banyak perkara yang berubah dalam dunia sekarang. Misalnya dahulu ada pekerjaan yang hanya dipelopori oleh golongan lelaki tetapi kini, ia sudah diceburi oleh kaum wanita.
Tetapi ada satu perkara yang tidak dapat dan mampu diubah iaitu peranan wanita untuk mengandungkan anaknya dalam rahimnya serta melahirkan anak.
Inilah peranan wanita yang istimewa dan unik. Dua ribu tahun lalu juga seorang wanita perawan dan suci telah dipilih oleh Tuhan untuk mengandung Putera-Nya iaitu Perawan Maria.
Malah, Paus Fransiskus juga gembira kerana Gereja bersifat ‘feminin’ bukan ‘maskulin’ .
Gereja bersifat keibuan, kewanitaan yang terkenal dengan ciri-ciri lembut, penyayang, mesra dan tabah. Gereja adalah ‘bonda’ bagi semua orang, yang dapat memberikan umat merasai kasih sayang, kegembiraan dan sukacita Tuhan.
Namun begitu, akibat kemodenan zaman ini, peranan wanita mengandung dan melahirkan anak dihambat oleh undang-undang serta pengaruh duniawi. Ramai wanita yang mengambil pil pencegah hamil, malah semakin ramai pula golongan lesbian yang mahu kehadiran mereka diiktiraf.
Sama-samalah kita berdoa agar wanita Katolik terus dapat memberikan harapan dan nafas baru kepada dunia.
Kuala Lumpur
Total Comments:0