Perhimpunan pastoral Telupid tumpu Amoris Laetitia
Sebuah paroki di bawah naungan Keuskupan Sandakan, paroki St Martin, Telupid telah menganjurkan Perhimpunan Pastoral Paroki (PPP) yang berlandaskan dokumen Gereja Amoris Laetitia.
Apr 12, 2025

TELUPID: Sebuah paroki di bawah naungan Keuskupan Sandakan, paroki St Martin, Telupid telah menganjurkan Perhimpunan Pastoral Paroki (PPP) yang berlandaskan dokumen Gereja Amoris Laetitia.
Dengan tema “Sukacita Kasih dalam Keluarga”, PPP yang dihadiri seramai 472 peserta, menampilkan penceramah jemputan, Fr Dr Peter Abas dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Selepas Misa pembukaan, sesi pertama bertajuk “Gereja Domestik yang Hidup dalam Firman dan Sakramen” menekankan bahawa kesejahteraan keluarga bukan hanya bergantung pada keperluan fizikal, tetapi juga pada kekuatan iman dan kehidupan rohani.
Fr Peter menjelaskan bahawa cinta kasih merupakan nadi kehidupan keluarga. Beliau memetik 1 Korintus 13:4 yang mengingatkan bahawa kasih itu sabar, murah hati dan tidak mementingkan diri sendiri.
Paderi itu menegaskan bahawa banyak keluarga menghadapi krisis akibat kurangnya cinta kasih, ketiadaan sokongan, serta kesukaran untuk saling memaafkan. Oleh itu, beliau mengajak setiap keluarga untuk terus hidup dalam firman Tuhan dan menghayati sakramen dalam kehidupan harian mereka.
Beliau turut mengingatkan bahawa Gereja domestik bukan sekadar tempat berlindung, tetapi juga medan untuk melayani dan menyebarkan kasih Tuhan.
Dalam sebuah perkongsian iman, Comeswelt, seorang wakil belia, berkongsi pengalaman tentang “Rumah yang Memberi Pengharapan”.
Pemuda itu menceritakan tentang perjalanan pelayanan dalam hidupnya serta bagaimana golongan belia dapat mengamalkan nilai-nilai Amoris Laetitia dalam kehidupan berkeluarga dan Gereja domestik.
Comeswelt menekankan bahawa keluarga yang berlandaskan kasih Tuhan bukan sahaja menjadi tempat berteduh, tetapi juga wadah untuk membangun karakter, kepercayaan, dan semangat pelayanan.
Seterusnya, dalam sesi kedua bertajuk “Membina Perkahwinan Katolik dengan Kasih Tuhan dan Pengampunan” menekankan kesucian sakramen perkahwinan.
Fr Peter menegaskan bahawa perkahwinan bukan sekadar ikatan fizikal tetapi juga ikrar setia di hadapan Tuhan yang menuntut kesabaran.
Kepentingan perdamaian dalam kehidupan berkeluarga menjadi fokus utama dalam sesi ketiga. Sebelum itu, peserta dalam kumpulan kecil untuk sesi perbualan rohani, berkongsi berkat dan cabaran dalam hubungan kekeluargaan.
Kemudian, semasa sesi perdamaian dan pemberkatan, ibu bapa dan anak-anak saling berpelukan, memohon kemaafan dan berdamai.
Semasa PPP, Komiti Alkitab dan Komiti Kateketikal turut mengadakan sesi khas untuk kanak-kanak.
Pelbagai aktiviti interaktif telah disusun, antaranya melukis bertemakan “Keluarga Bahagia dalam Kasih Tuhan”, menulis kad ucapan kasih buat ibu bapa, mencipta doa kreatif, serta bermain permainan Mix & Match dan Cari Perkataan serta tayangan video “Anak yang Hilang”.
Semua aktiviti itu bermatlamat membentuk nilai rohani, kreativiti dan kasih dalam diri kanak-kanak.
Total Comments:0