Perjalanan SALIB Katolik Malaysia kini bermula!
Sejak tahun 2018, Gereja Katolik di Malaysia telah berusaha ke arah impian bersama: menyatukan kesemua sembilan keuskupan untuk meraikan, mendengar, dan berjalan sebagai satu Gereja.
Apr 12, 2025

KOTA KINABALU: Sejak tahun 2018, Gereja Katolik di Malaysia telah berusaha ke arah impian bersama: menyatukan kesemua sembilan keuskupan untuk meraikan, mendengar, dan berjalan sebagai satu Gereja. Salah satu usaha itu ialah Perjalanan Salib Katolik yang akan mengambil masa selama 18 bulan, bermula April 3, 2025.
Perjalanan Salib merupakan salah satu acara untuk persiapan sebuah konvensyen besar iaitu Perhimpunan Pastoral Malaysia 2026 (MPC2026). MPC2026 ialah sebuah acara besar yang bakal menggabungkan sembilan keuskupan/agung di Malaysia buat pertama kalinya.
Antara dua acara besar sebagai persiapan menuju MPC2026 ialah perhimpunan pastoral wilayah dan Malaysia Catholic Youth Day (MCYD) yang buat kali pertama diadakan pada Mac 31-April 6 lalu di Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Pelancaran Salib Katolik Malaysia dilancarkan pada hari keempat MCYD iaitu pada April 3, 2025 di Katedral Sacred Heart.
Acara itu dimulakan dengan Upacara Berkat Meriah dan Penghormatan Salib pada pukul 3.00 petang. Pada awal upacara, sembilan Salib tersebut diarak masuk oleh tiga orang perwakilan Keuskupan/Agung. Para Uskup/agung kemudiannya berdiri di samping Salib masing-masing dan secara bergilir-gilir, membacakan doa-doa meriah, dimulakan oleh Uskup Agung Simon Poh dan diakhiri oleh Kardinal Sebastian Francis.
Menariknya, setiap Salib itu mempunyai rekaan Bunga Raya, bunga kebangsaan Malaysia. Bunga Raya ialah simbol cinta untuk negara kita, tanda kemerdekaan kita dari pemerintahan asing dan perpaduan di kalangan kaum yang berlainan. Dari sudut rohani, Bunga Raya pada Salib melambangkan kejayaan Tuhan Yesus kita di seluruh dunia dan telah mendamaikan kita kepada Bapa dan menyatukan kita antara satu sama lain dalam Roh Kudus.
Selepas berkat meriah, para uskup, paderi, religius dan peserta MCYD datang ke hadapan Salib untuk berdoa singkat dan penghormatan.
Acara tersebut berlangsung selama dua jam. Kemudian, pada pukul 6.00 petang, para Uskup, paderi, belia dan keluarga angkat mereka merayakan Misa Kudus yang dipimpin oleh Kardinal Sebastian Francis.
“Wahai kaum muda, iman dan kasih kalian terhadap Yesus sungguh luar biasa!” puji Kardinal Sebastian setelah mendapat tahu lebih 1,500 peserta MCYD dan terdapat penyertaan dari negara luar seperti Timor-Leste, Macau, Brunei dan Thailand.
“Apa pun yang berlaku dalam kalangan kamu sepanjang MCYD ini, melalui Sabda Tuhan hari ini, kita diingatkan untuk tidak mengabaikan pengalaman yang kamu perolehi dalam MCYD. Kamu diutus dengan satu misi yang sama, misi yang diberikan kepada kamu melalui pembaptisan.
Kardinal mengingatkan para belia bahwa misi dalam bentuk Salib Katolik Malaysia tidak boleh tinggal di satu tempat, ia harus bergerak, menjangkau seramai dan sejauh yang boleh.
Dalam kesempatan berjalan bersama Salib Katolik Malaysia, Kardinal Sebastian mengajak belia Katolik Malaysia mempertimbangkan secara serius empat tindakan berikut: membangunkan komuniti kecil di Gereja kita; memperkasa keluarga kita; memperkaya nilai kemasyarakatan dan meningkatkan kesedaran ekologi.
Menurut Uskup Pulau Pinang itu, keempat- empat perkara tersebut — Gereja, Keluarga, Komuniti dan Ekologi adalah anugerah Tuhan yang sangat berharga.
“Sebagai murid misionari yang membawa sukacita Injil, belas kasihan dan harapan khususnya kepada kaum muda, kita dipanggil melalui Salib Katolik Malaysia untuk melangkah dengan yakin, memperkenalkan cinta, belas kasihan dan harapan Tuhan kepada semua orang.”
Kardinal Sebastian memberi petua bagaimana memperkenalkan Yesus kepada orang lain iaitu terlebih dahulu, diri kita sendiri harus menerima sukacita Injil, menerima belas kasihan dan harapan Roh Kudus.
“Setelah itu, ceritakanlah dan perkenalkanlah pertemuan anda dengan Yesus secara langsung atau menggunakan media sosial kerana ramai yang sedang menantikan kisah iman kamu. Kisah pertemuan kamu dengan Yesus akan membawa kesembuhan dan sukacita,” kata Kardinal Sebastian.
Pada akhir Misa Kudus, sembilan Salib Katolik Malaysia yang dipacak menjadi satu di hadapan altar, diberikan kepada para koordinator Perjalanan Salib Katolik Malaysia keuskupan.
Kardinal Sebastian mengucapkan syabas kepada para koordinator dan pasukan mereka yang akan mempromosi serta membawa Salib Katolik Malaysia itu di keuskupan masing-masing.
Prelatus juga juga memberikan mereka token sederhana iaitu Kad Doa Sta Helena dari Salib.
Sta Helena dari Salib merupakan penaung kepada penemuan-penemuan baharu (new discoveries) serta yang dipilih oleh para Uskup Malaysia sebagai santa pelindung bagi aktiviti sepanjang Perjalanan Salib Katolik di sembilan keuskupan/ agung.
Pada September 2026, Salib-salib itu akan “disatukan” semula semasa MPC 2026 di Pusat Majodi, Plentong.
Para Uskup Malaysia berharap Perjalanan Salib Katolik 2025-2026 boleh menyatukan semua umat beriman dan para peserta MPC2026 untuk pengalaman penghayatan sejati sinodal.
Total Comments:0