Pertahbisan paderi dan diakon yang pertama pada musim PKPP

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan telah mengubah banyak rutin yang telah biasa kita lalukan dan praktik keagamaan.

Aug 14, 2020

PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan telah mengubah banyak rutin yang telah biasa kita lalukan dan praktik keagamaan. Begitu juga dalam ritus pentahbisan imamat dan diakon.  Dua orang diakon telah ditahbis ke jabatan imamat pada 6 Ogos lalu di Gereja St Francis Xavier. Mereka ialah Father Francis Go Sheau Peng OFM Cap dan Father Philip Tay Kok How OCD manakala Seminarian Bonaventure Rayappan ditahbis menjadi Diakon.

Ini merupakan pentahbiasan pertama sejak PKP, dengan bilangan umat yang terhad untuk meraikan perayaan Ekaristi dalam pelbagai bahasa serta disiarkan secara langsung melalui media sosial.

Uskup Julian Leow, selain mengingatkan mereka akan peranan dan fungsi diakon dan sebagai seorang paderi, prelatus itu juga menyeru mereka agar mereka diubah serta ditransformasi untuk menjadi pewarta Khabar Gembira Tuhan lebih-lebih lagi mereka ditahbis pada hari Transfigurasi Tuhan.

“Saudara-saudara ku terkasih, anda telah datang ke gunung Tuhan dan saya percaya, anda sangat gembira merayakan pentahbisan ini. Tetapi, saya ingin mengingatkan kalian, anda tidak sepatutnya terus di gunung itu. Anda harus turun, menghadapi realiti dan melayani  umat Tuhan seperti yang diamanatkan.

“Umat yang anda layani pada hari ini, khususnya pada musim pandemik ini, pada musim yang serba tak menentu dan ramai umat yang sedang gelisah dan putus asa. Mereka merupakan dombadomba yang amat memerlukan gembala. Kita adalah orang-orang yang telah dipanggil dan ditahbis, maka, anda yang ditahbis pada hari ini adalah dipanggil untuk melayani, hadir dan membantu para umat dalam hidup mereka, khususnya pada masa mencabar ini.

Uskup Agung Julian turut menghimbau pada diakon itu untuk menurut jejak Kristus, berharap dan tidak takut serta tidak ragu dan kekal setia kepada Kristus untuk mengalami kemuliaan syurga. Paderi yang baharu ditahbis, Fr Tay menyatakan rasa sukacitanya kerana segala perjalanan Misa berlangsung dengan lancar. “Saya sangat bersyukur kerana mendapat sokongan dan galakan daripada umat. Saya bersyukur kepada Tuhan dan di atas kehadiran para umat. "Saya mohon agar umat meneruskan berdoa untuk saya dalam pelayanan imamat ini,” kata Fr Tay.

Paderi itu juga berterima kasih kepada Uskup Agung Julian kerana memimpin pentahbisan tersebut pada masa yang sukar ini. Bagi Fr Go, beliau mengatakan  pentahbisan pada musim PKPP merupakan pengalaman unik dan melangkaui dari apa yang beliau jangkakan.

“Meskipun upacara pentahbisan ini dilaksanakan pada masa PKPP, ia tetap merupakan perayaan penuh sukacita, hormat dan berkat. Luahnya lagi, "Saya amat berterima kasih kepada Uskup Agung Julian kerana mentahbis kami pada tempoh krisis yang serba sukar ini dan kerana memilih tarikh pada hari ini, sebagai peringatan kepada kami peristiwa  penting sempena Hari Transfigurasi Tuhan. 

“Saya berdoa agar Tuhan sentiasa memberkati dan membimbing saya untuk menjaga dombadomba yang diamanahkan kepada saya. Saya berharap dapat menjadi seorang paderi yang baik bagi umat dan Gereja.

“Kini saya merasai tanggungjawab seorang diakon,” kata Diakon Bonaventure yang ditugaskan di Gereja Sta Anna, Pelabuhan Klang. “Tugas saya adalah untuk mendoakan dan bersama sama dengan umat Tuhan, untuk mendengar dan menyokong mereka lebih-lebih lagi ramai di antara mereka telah kehilangan pekerjaan dan sebagainya.” Diakon Bonaventure merasa sangat gembira kerana ditahbis dalam upacara yang sama dalam ritus pentahbisan imamat.

Perayaan ini sungguh indah dan bermakna meskipun dengan kehadiran umat yang terhad. Namun, kami akan datang kepada mereka dan melayani mereka,” kata Diakon Bonaventure.

Total Comments:0

Name
Email
Comments