Peserta membanjiri Seminar Penyembuhan
Sebuah seminar rohani yang penuh berkat, Seminar Penyembuhan dan Pembebasan, telah berjaya mengumpulkan kira-kira 900 umat dari tiga keuskupan di Sabah, Sarawak dan Brunei di Sacred Heart Cathedral Kota Kinabalu.
Mar 22, 2025

Barry A. Henry
Sebuah seminar rohani yang penuh berkat, Seminar Penyembuhan dan Pembebasan, telah berjaya mengumpulkan kira-kira 900 umat dari tiga keuskupan di Sabah, Sarawak dan Brunei di Sacred Heart Cathedral Kota Kinabalu.
Seminar yang berlangsung dari Mac 7-9 ini telah dianjurkan oleh Kelompok Doa Bahasa Malaysia Sacred Heart Cathedral Kota Kinabalu dan dibantu oleh English Prayer Meeting Sacred Heart, CCR Stella Maris Tanjung Aru, CCR St Thomas Kepayan, CCR St Theresa of Child Jesus, Kolopis dan CCR St Joseph, Papar. Seminar ini dipimpin oleh penceramah terkenal, Brother Jude Antoine yang berasal dari Kuala Lumpur.
Sebelum seminar bermula, para peserta dan umat Katolik telah menyertai ibadat Jalan Salib dan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Agung John Wong. Dalam homilinya, Uskup Agung John Wong menekankan bahawa “Tuhan ingin membebaskan kita melalui pengutusan anak-Nya Yesus Kristus dengan membawa cinta kasih kedamaian kepada semua umat di dunia ini.”
Prelatus itu mengucapkan terima kasih kepada Jude Antoine atas kesediaan beliau untuk memimpin seminar ini.
Seminar ini diadakan dengan tujuan untuk memperdalam iman umat Katolik di samping memberikan penyembuhan dan pembebasan rohani. Jude Antoine telah membimbing para peserta melalui sesi-sesi pengajaran, doa dan penyembuhan.
Kehadiran seramai 900 umat dari pelbagai latar belakang menunjukkan kerinduan yang mendalam untuk pembaharuan rohani. Para peserta telah menyatakan bahawa mereka telah mengalami pengalaman rohani yang mendalam dan merasakan kehadiran Tuhan dalam hidup mereka. “Saya merasakan beban yang berat terangkat dari bahu saya,” kata Gayle Euphrasia, salah seorang peserta. “Seminar ini telah mengubah hidup saya,” kata Dora, seorang peserta.
Seminar ini juga menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan antara umat Katolik dari pelbagai keuskupan. Para peserta telah berpeluang untuk berkenalan dan berkongsi pengalaman iman mereka. “Saya datang ke seminar ini dengan hati yang penuh keraguan, tetapi saya pulang dengan perasaan damai dan harapan yang baharu,” kongsi seorang peserta yang enggan namanya disiarkan.
“Seminar Penyembuhan dan Pembebasan ini telah menjadi sebuah peristiwa yang bersejarah bagi umat Katolik di Sabah, Sarawak dan Brunei. Diharapkan agar benihbenih iman yang telah ditanam dalam seminar akan terus bertumbuh dan berbuah,” kata Pengerusi Penganjur, Herman Jaini dari Kelompok Doa Bahasa Malaysia Sacred Heart Cathedral Kota Kinabalu
Total Comments:0