Program Back To School, salah satu tanda Gereja prihatin kepada semua

Seramai 70 kanak-kanak Sekolah Rendah dan Menengah dari kawasan Senai, Saleng, Kulai dan Kelapa Sawit telah menerima bantuan menerusi program ‘Back To School’ anjuran Pejabat Pembangunan Manusia Paroki Christ The King (POHD CTK), Kulai dengan kerjasama Caritas Keuskupan Melaka Johor (MJD) sebagai penyumbang utama pada Februari 8 lalu.

Mar 08, 2025


KULAI:
Seramai 70 kanak-kanak Sekolah Rendah dan Menengah dari kawasan Senai, Saleng, Kulai dan Kelapa Sawit telah menerima bantuan menerusi program ‘Back To School’ anjuran Pejabat Pembangunan Manusia Paroki Christ The King (POHD CTK), Kulai dengan kerjasama Caritas Keuskupan Melaka Johor (MJD) sebagai penyumbang utama pada Februari 8 lalu.

Peruntukan bernilai RM100 untuk seorang murid berupa kelengkapan persekolahan seperti baju dan kasut sekolah, beg sekolah, alat tulis serta buku-buku.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut disampaikan oleh pembantu paderi paroki CTK, Fr Matthews Joe Marianathan, bagi pihak paderi paroki, Fr James Rajendran dan juga Pengarah Caritas MJD, En Andrew Leo.

Turut hadir pada hari tersebut adalah ahli-ahli POHD CTK Kulai dan ibu bapa.

Tujuan mengadakan program ini adalah untuk membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan menyediakan kelengkapan sekolah anak pada awal sesi persekolahan.

Dalam ucapannya, Fr Matthews Joe mengatakan bahawa Gereja sangat mengambil berat golongan yang tidak berkemampuan.

Beliau menambah agar jangan segan ataupun malu untuk meminta bantuan apabila dalam kesusahan. Gereja sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama.

Dalam ucapannya, Pengarah Caritas Keuskupan MJD, En Andrew Leo telah menerangkan serba sedikit tentang pertubuhan Caritas dan objektifnya.

Beliau berharap agar menerusi program ini dapat memberi cinta Yesus kepada semua orang tanpa mengira kaum dan agama.

Andrew juga mengucapkan terima kasih kepada POHD CTK, Kulai kerana telah menjayakan program ‘Back to School’.

Pada hari tersebut juga, ceramah yang bertajuk “Ekologi” telah disampaikan oleh En Jun Sen Subramaniam, ahli POHD.

Dalam ceramahnya, beliau menekankan betapa penting disiplin diri dalam penjimatan penggunaan sumber seperti air dan letrik dalam kegiatan harian.

Beliau juga menasihati agar menggunakan botol air yang boleh diulang pakai apabila mengisi air minuman bila keluar rumah. Ini dapat mengelakkan penggunaan botol plastik air mineral.

Program ‘Back to School’ pada hari itu dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah. Pada program tersebut En Xavier Sinathamby sudi menderma voucher Aeon yang bernilai RM20 kepada kanak-kanak sekolah rendah.

POHD CTK, Kulai yang diwakili Sdri Shirly A.Savariappan bagi pihak paderi paroki CTK, mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang iaitu Caritas MJD dan En Xavier Sinathamby yang telah menderma voucher Aeon.

Inisiatif ini diharap dapat menolong meringankan beban ibu bapa yang tidak berkemampuan dan menunjukkan tahap keprihatinan Gereja kepada masyarakat sekitar.

Total Comments:0

Name
Email
Comments