Promosi panggilan capai 1,000 paderi
Persatuan Sokongan Panggilan Keuskupan Agung Seoul merayakan ulang tahun ke-50 dengan Misa Kudus di Katedral Myeongdong.
Apr 18, 2025

SEOUL: Persatuan Sokongan Panggilan Keuskupan Agung Seoul merayakan ulang tahun ke-50 dengan Misa Kudus di Katedral Myeongdong. Misa dipimpin oleh Uskup Agung Peter Soon-Taick Chung dan dihadiri oleh para klerus, religius dan ratusan umat awam yang berdedikasi mempromosikan panggilan imamat.
Ditubuhkan pada April 17, 1975, persatuan itu bermula sebagai Kumpulan Sokongan Seminarian, inisiatif akar umbi yang diketuai oleh kakitangan seminari dan lima belas orang awam wanita, di bawah bimbingan Fr Kim Deok-Jae.
Ia secara rasmi dinamakan semula sebagai Persatuan Sokongan Panggilan pada bulan Oktober 1977 dan beroperasi di bawah pengawasan Jabatan Panggilan Keuskupan Agung.
“Dengan rahmat Tuhan yang Maha Baik dan Penyayang serta melalui keprihatinan, sokongan dan sumbangan yang murah hati dari semua orang, kita telah mencapai masa bersejarah,” kata Uskup Agung Chung dalam homilinya.
“Sejak 180 tahun pentahbisan paderi pertama Korea, Sto Andrew Kim Dae-Beon, bilangan paderi keuskupan di Keuskupan Agung Seoul akhirnya mencapai seribu orang,” kata Uskup Agung Chung.
“Pertambahan ini tidak mungkin dilakukan tanpa rahmat Tuhan dan tanpa usaha yang setia para paderi serta ahli-ahli persatuan dalam misi ini,” katanya.
Prelatus itu juga menekankan identiti rohani kepaderian iaitu panggilan merayakan Ekaristi dan memberikan pelayanan sakramen. Katanya, walaupun panggilan menjadi paderi adalah hadiah Ilahi, paderi juga memerlukan sokongan dan doa daripada semua umat serta mereka selalu harus memelihara kekudusan mereka.
Prelatus itu juga memberi peringatan bahawa di mana-mana, panggilan kepaderian semakin menurun.
“Oleh itu, saya mohon, semua umat, ahli-ahli persatuan ini, untuk berdoa bersungguh-sungguh, galakkan tetangga, orang-orang sekeliling anda dan komuniti untuk menyokong panggilan serta mempromosikan panggilan,” kata Uskup Agung Chung.-- LiCAS News
Total Comments:0