Retret tahunan LSKK peringkat Keuskupan Keningau ditunjangi doa

Kasih kepada Tuhan dan sesama adalah asas kuat pada setiap pelayanan. Hal ini ditekankan semasa retret tahunan pelayan Liturgi Sabda Kanak-kanak (LSKK) bagi peringkat Keuskupan Keningau pada 29- 30 Mac lalu.

Apr 26, 2019

KENINGAU: Kasih kepada Tuhan dan sesama adalah asas kuat pada setiap pelayanan. Hal ini ditekankan semasa retret tahunan pelayan Liturgi Sabda Kanak-kanak (LSKK) bagi peringkat Keuskupan Keningau pada 29- 30 Mac lalu.

Retret dimulakan dengan Misa Kudus pembukaan oleh Uskup Cornelius Piong yang dihadiri seramai 189 orang pelayan LSKK seluruh Keuskupan Keningau.

Dalam homilinya, Bapa Uskup berpesan kepada para pelayan agar sentiasa mengutamakan kesatuan dengan Tuhan dengan bantuan dan menggunakan medium yang disediakan oleh gereja seperti saat teduh, adorasi, bukubuku yang membantu dalam perjalanan iman dan banyak lagi.

Medium ini juga telah dimodenkan dengan penggunaan teknologi semasa seperti firman dan renungan yang boleh didengari melalui audio Kupi Rohani, Fresh Juice dan banyak lagi yang boleh diakses melalui telefon pintar di mana hampir semua orang memilikinya.

Ketua Keuskupan Keningau itu mengajak para pelayan LSKK untuk memeriksa dan mengamati kesatuan mereka dengan Tuhan serta sesama.

Kesatuan dengan Tuhan akan menumbuhkan akar kuat pada iman. Dengan iman yang semakin berakar dan bertumbuh, seorang dapat menjadi pelayan Tuhan yang makin dewasa, yang tidak cepat putus asa, tidak cepat menyerah untuk sentiasa melakukan yang terbaik

Kesatuan yang akrab dengan Tuhan juga akan menghasilkan buah yang baik untuk disemai dan dibimbing kepada anak-anak dari usia awal.

Melayani sebagai pelayan LSKK merupakan panggilan daripada Tuhan. Menjadi pelayan Gereja tidak cukup hanya bermodalkan semangat dan kemahuan, ia harus ditunjangi dengan keheningan dan doa, iman dan kasih. Hal-hal ini merupakan jiwa dari pelayanan, yang merupakan inti yang terdalam dari pelayanan.

Dalam retret itu juga, para pelayan LSKK berkesempatan memperbaharui komitmen pelayanan mereka di hadapan Bapa Uskup. — KOMSOS KGAU

Total Comments:0

Name
Email
Comments