Sabda Tuhan hidup melalui kerendahan hati

Paus Fransiskus memberi amaran kepada umat agar tidak mempergunakan Sabda Tuhan bagi kegunaan diri sendiri seperti yang dilakukan oleh kaum Farisi, sebaliknya menggunakan Sabda Tuhan untuk berdoa serta dorongan bagi merendahkan hati, demikian kata Paus Fransiskus.

Mar 28, 2014

VATIKAN: Paus Fransiskus memberi amaran kepada umat agar tidak mempergunakan Sabda Tuhan bagi kegunaan diri sendiri seperti yang dilakukan oleh kaum Farisi, sebaliknya menggunakan Sabda Tuhan untuk berdoa serta dorongan bagi merendahkan hati, demikian kata Paus Fransiskus.

“Ini adalah sebuah tragedi bagi orang-orang tersebut dan tragedi kepada kita juga,” ujar Bapa Suci ketika memberikan khutbah semasa Misa Kudus harian pada Mac 21 lalu di Kediaman Sta Martha.

Prelatus itu merenung pembacaan Injil yang mengisahkan perumpamaan Yesus tentang perumpamaan pekerja di ladang anggur di mana mereka membunuh hamba serta anak lelaki majikan mereka kerana mahu merampas ladang itu.

Bapa Suci menerangkan bahawa perumpamaan itu ditujukan kepada orang-orang Farisi yang menunjukkan kejatuhan mereka kerana tidak membukakan hati kepada Sabda Tuhan.

“Orang-orang seperti itu telah mempergunakan Sabda Tuhan. Mereka menjadikan Sabda Tuhan seperti kata-kata mereka sendiri, kata-kata yang memperlihatkan niat mereka, ideologi dan teologi mereka sendiri, bukan pelayanan.”

Menurut Sangti Papa, sesiapa yang mentafsir Sabda Tuhan menurut pemikiran sendiri adalah sebuah tragedi. Dan demi menegakkan kebenaran mereka, mereka sanggup membunuh, inilah yang terjadi kepada Yesus.

Perumpamaan yang diceritakan dalam Injil pada hari tersebut memperlihatkan bagaimana ketua agama dan orang-orang Farisi berusaha menangkap serta membunuh Yesus.

“Inilah caranya Sabda Tuhan 'dikurung', dipenjarakan dan mati. Inilah yang terjadi kepada umat Kristian jika kita tidak mahu membuka hati kita kepada Sabda Tuhan, apabila kita tidak taat dalam Firman Tuhan.”

Bapa Suci menambah lagi, “Sabda Tuhan boleh mati di dalam hati kita tetapi ia boleh dihidupkan kembali dengan kerendahan hati, menerima-Nya dengan hati terbuka, berdoa dengan tekun serta tidak lagi menggunakannya demi kepentingan diri sendiri sahaja.” -- CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments