Sebarkan pesan Kristus dengan setia!

Sri Paus Fransiskus menyeru para pendidik untuk menyebarkan pesan Kristus dan misi Gereja dengan setia pada zaman kontemporari ini.

Mar 01, 2025


VATIKAN: Sri Paus Fransiskus menyeru para pendidik untuk menyebarkan pesan Kristus dan misi Gereja dengan setia pada zaman kontemporari ini. Seruan ini dinyatakan oleh Bapa Suci dalam kepada Fakulti Teologi Trivento sempena ulang tahun ke-20 fakulti itu. Teks yang ditandatangani oleh Sri Paus itu dihantar kepada rektor fakulti, Fr Maurizio Girolami.

Fakulti Teologi Triveneto, yang berpusat di Padua, menghubungkan lima institut teologi dan tujuh institut sains agama yang unggul di wilayah utara Itali, Veneto, Friuli- Venezia Giulia dan Trentino Alto-Nige. Ia ditubuhkan pada tahun 2005 di mana beberapa institut memberikan pembentukan teologi akademik kepada orang awam, klerus, seminarian dan religius.

Dalam suratnya, Bapa Suci menyatakan bahawa ulang tahun ke-20 fakulti itu memberikannya peluang “untuk menyatakan kesyukuran kepada Tuhan untuk perkaraperkara baik pada tahun-tahun sebelumnya, terutama untuk kepentingan generasi muda di rantau ini.”

Membawa Kristus kepada dunia
“Saya menggalakkan, seluruh keluarga akademik untuk bertahan dalam kerjasama dengan misi Gereja, untuk menyebarkan pesan Kristus di dunia, setia kepada tradisi yang tulen, juga terbuka untuk membaca tanda-tanda masa.”

Tambahnya, “Ini bermaksud mengambil cabaran baharu dengan berani bagi membawa kebenaran Injil kepada manusia kontemporari dengan berkesan.”

Untuk mencapai matlamat ini, Sri Paus menyeru fakulti teologi “menjadi tempat pembentukan yang semakin penting, bukan hanya melalui kajian dan mendalamkan teologi, tetapi juga melalui kesaksian Kristian setiap individu.”

“Saya berharap guru-guru akan membantu orang muda untuk menyedari diri mereka berdasarkan kebenaran, kebaikan dan keindahan yang mempunyai sumber mereka dalam Tuhan.”

Dengan sentimen ini, Sri Paus Fransiskus mengulangi rasa terima kasihnya atas misi dan komitmen pendidikan mereka yang berterusan, sambil memohon Bonda Maria melindungi dan memberkati usaha mereka.

Sri Paus Fransiskus semakin stabil di Hospital Agostino Gemelli Roma
Seperti yang diketahui, Sri Paus Fransiskus telah dimasukkan ke Hospital Agostino Gemelli Roma pada hari Jumaat, Februari 14, kerana jangkitan saluran pernafasan.

Akibat berita tersebut, pelbagai berita palsu telah tersebar bahawa Vatikan sedang mempersiapkan pengebumian untuk Bapa Suci dan Sri Paus dalam keadaan kritikal.

Laporan terbaharu pada Februari 19, para petugas kesihatan telah melakukan ujian darah dan melalui ujian darah itu, Bapa Suci beransur sembuh dan stabil.

Prelatus itu tetap melakukan kerja-kerja bersama kakitangan kepausan malah sempat menyiapkan teks katekesis untuk Audiensi Umum Hari Rabu.

Bapa Suci juga dikatakan menerima komuni sebelum makan tengah hari. Beliau juga menerima kunjungan daripada Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, selama 20 minit. --Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments