Sentiasalah jatuh cinta kepada Yesus

“Ingatlah detik penting pada hari ini. Hari ini hari yang sangat istimewa. Hari ini, anda telah dipilih oleh Tuhan yang Maha Penyayang untuk menerima cinta kasih-Nya untuk selama-lamanya,” ujar Uskup Agung John Wong kepada para calon Baptis pada hari Minggu pertama Pra-Paskah yang lalu.

Mar 21, 2014

KOTA KINABALU (Herald Malaysia): “Ingatlah detik penting pada hari ini. Hari ini hari yang sangat istimewa. Hari ini, anda telah dipilih oleh Tuhan yang Maha Penyayang untuk menerima cinta kasih-Nya untuk selama-lamanya,” ujar Uskup Agung John Wong kepada para calon Baptis pada hari Minggu pertama Pra-Paskah yang lalu.

Keuskupan Agung Kota Kinabalu menerima 910 katekumen pada tahun ini untuk dibaptis pada malam atau hari Paskah.

Upacara Pemilihan menandakan berakhirnya Tempoh Katekumenat. Dalam ritus ini, atas dasar kesaksian para penjamin dan katekis pembimbing, Gereja mengadakan "pemilihan" ke atas para Katekumen.

Di hadapan Uskup, perwakilan setiap Paroki menyerahkan Buku Para Pilihan yang mengandungi senarai nama calon baptis, di Katedral sebagai tanda ikrar setia.

Sekarang para katekumen disebut “Para Pilihan” atau “Illuminandi” (“mereka yang akan diterangi”). Mereka kini memulai suatu tempoh Pemurnian dan Penerangan — persiapan akhir yang intensif bagi menerima Sakramen-sakramen Inisiasi.

Uskup John Wong bertanya kepada calon baptis, “Adakah anda sudah mengenali siapa Yesus Kristus? Fikirkanlah sedalamnya akan keputusan anda ini.”

Prelatus itu juga mengaitkan musim Pra-Paskah dengan persediaan para Pilihan sebelum menerima Sakramen-sakramen Inisiasi.

“Upacara ini diadakan pada musim Pra-Paskah. Oleh itu, pada musim ini, Gereja selalu menyeru umat untuk membaharui iman, bertaubat, meninggalkan perbuatan dan fikiran yang tidak baik. Begitu juga dengan para calon baptis. Sepanjang tempoh ini, berusahalah untuk mendekatkan diri dengan Tuhan agar dapat menerima misteri keselamatan.”

Menurut Uskup Agung John lagi, “Bagaimana kita dapat menjadi pengikut Yesus? Yesus kata, pikullah Salib. Melalui kesengsaraan dan kematian barulah kita alami kebangkitan. Oleh itu para Pilihan, sudahkah anda mengenali, bersedia dan menerima Dia? Adakah anda siap menerima kesengsaraan agar dapat menerima misteri penyelamatan?”

Tegas Bapa Uskup Agung lagi, “Sentiasalah jatuh cinta pada Yesus. Apa pengalaman anda ketika jatuh cinta?

“Apa bila anda jatuh cinta dengan seseorang, orang itu biasanya mengawal kelakuan dan perkataan kita. Mungkin, sudah tiba masanya untuk kita jatuh cinta pada Tuhan! Injil adalah surat cinta Tuhan kepada kita. Kita boleh bertemu dan menyentuh-Nya melalui Sabda- Nya.”

Sebelum mengakhiri khutbahnya, Uskup John Wong berpesan, “Selepas ini, bacalah Alkitab, pergilah sembahyang. Percubaan tidak akan hilang selagi kita masih hidup. Tetapi Yesus telah memberikan contoh bagaimana menumpaskan iblis iaitu dengan membaca Alkitab!”

Total Comments:0

Name
Email
Comments