Setelah disembuhkan ... beranilah mengikuti Dia!
Kemajuan teknologi termasuklah bidang perubatan dewasa ini, sangatlah mengagumkan.
Oct 23, 2015

HARI MINGGU BIASA KE-30
MASA BIASA (B)
YER 31:7-9
IBR 5:1-6
MRK 10:46-52
Kemajuan teknologi termasuklah bidang perubatan dewasa ini, sangatlah mengagumkan. Janin di dalam rahim ibu, penyakit barah, buah pinggang dan pelbagai penyakit lain dapat 'diteropong' melalui alat-alat canggih. Malah, kini, kemudahan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam badan, mata dan fizikal, dapat dilakukan di premis-premis umum, malah di Gereja.
Pada masa sekarang juga, ramai orang yang menderita penyakit katarak, sejenis selaput yang menghalang kejelasan dalam pandangan seseorang. Dengan latar belakang itu, pesan apakah gerangan yang ingin disampaikan dalam Injil Markus kepada kita hari ini dalam cerita tentang Bartimeus yang buta itu?
Yesus dan murid-murid sedang dalam perjalanan jauh dari Galilea menuju Yerusalem. Ketika mendekati Yerusalem, di Yerikho, Yesus mendengar seruan lantang daripada Bartimeus, si pengemis buta: “Yesus, Anak Daud, kasihanilah aku!”
Ternyata banyak orang menegur si buta dan minta supaya dia diam! Mengapa reaksi mereka itu demikian?
Apakah kerana Bartimeus seorang pengemis yang kotor, atau caranya memanggil Yesus dengan berteriak dianggap tidak sopan, sehingga mengganggu Yesus? Mereka lupa, si buta itu adalah juga warga masyarakat seperti lainnya. Bukankah dia pun berhak melihat dan berjumpa Yesus? Dan ketika mereka mendengar si buta itu mohon disembuhkan oleh Yesus, bukankah mereka seharusnya menolong untuk membawanya kepada Yesus?
Reaksi Yesus, tidak seperti orang ramai yang cuba mendiamkan Bartimeus. Yesus minta agar Bartimeus itu dibawa kepada-Nya! Dan ketika si buta itu datang, Yesus bertanya: “Apa yang kau kehendaki Ku perbuat bagimu?” Jawaban Bartimeus, “Rabuni, semoga aku dapat melihat!”
Bartimeus disembuhkan dan dia dapat melihat. Tetapi dia melihat bukan hanya dengan matanya, melainkan juga dengan cara lain yang lebih penting, iaitu dia melihat dengan hatinya.
Mengapa? Sebab meskipun Bartimeus memang buta dalam penglihatan dengan matanya, namun dia “melihat dengan imannya” dengan jelas dan pasti siapakah Yesus itu sebenarnya! Itulah isi iman atau kepercayaannya. Kepercayaan inilah yang membuatkan dia menjadi murid-Nya.
Pada akhir ceritera Injil hari ini tertulis, bahawa Bartimeus “mengikuti Yesus dalam perjalanan- Nya”, iaitu ke Yerusalem, di mana Yesus akan menderita dan mati disalib.
Apakah pesan Injil kepada kita di dalam ceritera tentang penyembuhan Bartimeus yang buta itu? Rasa belaskasih selalu merupakan ciri khas pewartaan dan pelayanan Yesus. Dan ceritera-ceritera tentang pelbagai penyembuhan-Nya dicatat dalam Injil bukan hanya untuk menunjukkan penyembuhan penyakit mata, tubuh badan atau jasmani, melainkan juga penyakit mata/rohani/batin.
Ceritera Injil mengandung sebuah pesan rohani. Iaitu pesan tentang hubungan antara melihat dan percaya. Injil mengingatkan kita, bahawa di samping kebutaan jasmani/ fizikal ada juga kebutaan rohani/batin/jiwa. Murid-murid Yesus pun dahulu dan sekarang memiliki dan mengalami aneka 'penyakit' dalam cara berfikir dan bertindak.
Salah satu penyakit mereka itu secara simbolis disebut penyakit 'kebutaan', iaitu ketidakmampuan kita untuk memahami makna penderitaan atau kesukaran hidup yang kita alami.
Tanpa disedari kita sering memiliki pandangan yang sempit atau sebaliknya pandangan yang terlalu bebas tanpa batas. Penglihatan rohani atau batin kita terhadap orang lain dan keadaan masyarakat seringkali kabur, bahkan ibaratnya sering buta.
Dan akibat kebutaan penglihatan itu menghasilkan sikap pandangan dan hidup yang suram, pesimis, kecewa bahkan putus asa.
Tetapi sebaliknya kebutaan mata batin kita juga dapat menimbulkan suatu pandangan dan sikap yang angkuh, merasa serba tahu, merasa selalu benar, bahkan merasa tak pernah salah. — Nah, untuk semuanya itu diperlukan mukjizat penyembuhan!
Apa kesimpulan kita? Kita ini harus bersikap seperti Bartimeus. Ertinya kita perlu sedar bahawa penglihatan atau mata rohani/batin kita sering buta, dan kita harus tahu merasa memerlukan penyembuhan. Dan yang dapat menyembuhkan ialah Yesus Kristus.
Tetapi di samping itu, bukankah kita sendiri juga yang sering bersikap dan bertindak seperti orang-orang yang berusaha menolak atau menyingkirkan Bartimeus ketika ia mahu datang kepada Yesus? Mahu dan bersediakah kita ini menghantar dan membawa saudara-saudari kita yang berteriak kepada Yesus untuk ditolong membawa mereka kepada Dia?
Kita ini semuanya harus berusaha menemukan dalam diri kita masingmasing hal-hal, yang menghambat serta melumpuhkan panggilan kita untuk berbuat baik terhadap sesama. Marilah kita mengulangi selalu doa Bartimeus, “Rabuni, semoga aku dapat melihat!”
Akhirnya kesimpulan kita ialah: Bila mata, penglihatan, pandangan kita, bukan hanya berfungsi sebagai mata fizikal, tetapi juga mata rohani atau spiritual kita sudah disembuhkan oleh Yesus, kita harus juga seperti Bartimeus mahu dan berani “mengikuti Yesus dalam perjalanan- Nya" ke Yerusalem. Iaitu, bukan setakat berani ikut menerima penderitaan, namun untuk ikut bangkit kembali bersama Dia. -- IGN
Total Comments:1