Tiada istilah terlambat untuk mengubah kehidupan
Di dalam bukunya yang berjudul ‘Nyanyian burungburung,’ Fr. Anthony de Mello, SJ menceritakan kisah seorang tua bijaksana yang pada suatu hari telah membuat renungan tentang kehidupannya, “Sewaktu saya masih muda, saya berdoa kepada Tuhan demikian, “Tuhan, berikanlah saya kekuatan untuk mengubah dunia ini.”
Mar 14, 2014
HARI MINGGU KEDUA
PRA-PASKAH
KEJADIAN 12:1-4;
2 TIMOTIUS 1:8-10;
MATIUS 17:1-8
Di dalam bukunya yang berjudul ‘Nyanyian burungburung,’ Fr. Anthony de Mello, SJ menceritakan kisah seorang tua bijaksana yang pada suatu hari telah membuat renungan tentang kehidupannya, “Sewaktu saya masih muda, saya berdoa kepada Tuhan demikian, “Tuhan, berikanlah saya kekuatan untuk mengubah dunia ini.”
Apabila saya mencapai usia pertengahan dan menyedari bahawa separuh daripada kehidupan saya berlalu begitu sahaja tanpa mengubah satu pun manusia, maka saya merubah doa saya, “Tuhan, berikanlah saya rahmat untuk mengubah keluarga dan teman-teman saya.” “Namun ketika ini saya sudah menjadi orang tua, dan saya mulai melihat betapa bodohnya saya selama ini. Hanya ini doa saya yang terakhir pada Tuhan, “'Tuhan berikanlah saya rahmat untuk mengubah diri ku sendiri” ... Seandainya saya mohon doa ini sejak dahulu, maka pastilah hidup saya tidak sia-sia."
Pesan Injil minggu ini memperkatakan tentang perubahan seperti apa yang didoakan oleh orang tua bijaksana tadi. Ia menggambarkan kemuliaan Yesus yang telah berubah wajah, “Wajah-Nya bercahaya seperti matahari dan pakaian-Nya menjadi putih bersinar seperti terang (Mat17:2).
Perubahan wajah Yesus tersebut mengajar kita bahawa kita secara peribadi juga perlu berubah. Kita perlu berani sentiasa berubah ke arah yang lebih baik. Perlu kita sedari bahawa pertumbuhan ke arah kedewasaan kristian bukanlah pengalaman yang hanya sekali, namun ia tertakluk pada perubahan. Suatu usaha untuk menyahut cabaran memilih di antara ketaatan dengan penentangan kehendak Tuhan.
Demikianlah perjalanan iman kita masing-masing adalah sesuatu yang unik dan tidak sama antara satu dengan yang lain.
Kita masing-masing mempunyai masa permulaan dan pengakhiran yang tidak sama, serta kepelbagaian pengisian di antaranya. Namun kita semua berjalan merentasi kehidupan dengan sukatan masa yan sama. Kita semua sedar bahawa perubahan itu tidak dapat kita hindari dan bahawa kita semua tertakluk pada perubahan sama ada kita menyukainya atau pun tidak.
Mungkin anda pernah menumpang bas, teksi atau memandu kereta sendiri di jalan raya. Anda pasti selalu melihat jalan yang lurus dan cantik itu selalu diganggu oleh jentolak kerana memperbaiki jalan yang rosak.
Saya sendiri mengalami ini apabila pada suatu hari saya menumpang teksi dan apabila tiba di suatu tempat di mana kereta berjalan seperti siput kerana jalan di hadapan sedang dibaiki, lalu sang pemandu kereta mengomel, “Jalanan ini selalu rosak, entah bilalah jalanan ini siap dan tidak rosak lagi supaya kita boleh jalan dengan senang hati!”
Mengingat omelan Sang Pemandu teksi tersebut, mungkin kita boleh gunakannya sebagai renungan untuk perjalanan hidup rohani kita. Bahawa perjalanan iman kita menuju ke kekudusan sentiasa sahaja diubah diperbaiki dari semasa ke semasa. Kita semua secara berterusan dan terlibat secara langsung di dalam proses untuk meneruskan perubahan ke dalam keutuhan dan kejujuran yang mantap, demi menjadi seorang peribadi yang lebih mengasihi dan penuh dengan belas kasihan.
Tokoh Abraham yang kita kenal dalam bacaan pertama tadi sungguh merupakan sumber inspirasi iman, di mana dia dengan sukarela mengikuti dan taat pada Tuhan dengan melepaskan segala kemewahan dunia dengan menggembara ke negara Palestin.
Semasa dia memulakan perjalanannya untuk merubah kehidupannya, dia sudah pun berumur 75 tahun. Oleh kerana itu kita seharusnya jangan pernah berkata atau berfikir bahawa kita sudah terlambat atau terlalu tua untuk mengubah kehidupan ini agar menjadi lebih baik daripada yang biasa.
Sebenarnya terdapat banyak unsur-unsur kebaikan dan kelebihan di dalam diri kita, tetapi terdapat juga keperluan untuk perubahan. Namun yang menarik, nilai-nilai dan sikap-sikap kita yang baik itu boleh juga menjadi sumber kelemahan kita. Misalnya:
1. Keperibadian yang ekstrem. Ia baik tapi menjadi tidak baik apabila kita tidak sanggup mengatakan 'tidak' kepada teman atau kepada atasan apabila kita disuruh menandatangani suatu kontrak kerja yang tidak jujur atau menutup mata sebelah apabila melihat ketidakadilan terjadi.
2. Mengamalkan ‘budaya ketam.’ Maksudnya bersikap seperti ketam di dalam bakul yang saling menjatuhkan apabila ada yang berusaha naik ke atas. Walhal ‘budaya ketam’ ala kristian adalah saling mendorong atau menarik ke atas terhadap sesama yang sungguh-sungguh berusaha untuk melakukan apa sahaja yang baik.
3. Perpecahan yang disebabkan oleh amalan berkomplot dan rancangan jahat, kritikan yang tidak membangun serta perselisihan politik yang tidak berkesudahan yang hanya pentingkan diri sendiri.
Pada ketika ini kita berada musim Pra-Paskah. Panggilan untuk mengubah corak kehidupan, corak berfikir dan bertindak adalah suatu peringatan bagi kita semua secara berterusan daripada Tuhan agar kita mencapai kehidupan yang lebih baik, lebih dirahmati Tuhan.
Demi mencapai pertumbuhan dan kemajuan sama ada rohani mahupun jasmani, kita perlu mengikis nilainilai yang negatif, sikap malas, tidak taat dan tidak jujur, segala bentuk perselisihan faham yang tidak menguntungkan serta cepat merasa puas dan tidak mahu berusaha sesuatu yang lebih baik. Sebab sikap-sikap kita yang baik ataupun yang buruk itu akan menentukan hala tuju kehidupan kita di masa-masa yang akan datang.
Perjalanan hidup ini boleh mencapai penghujung yang menggembirakan, asalkan kita sanggup dan berani menyahut cabaran, sentiasa merubah hidup setiap hari dengan percaya dan taat kepada Tuhan yang maha esa. -- JL
Total Comments:0