Tuhan mengamanahkan umat manusia kepada WANITA

“Banyak perkara yang mengubah dan telah menukar budaya kita. Tetapi satu hal yang tidak pernah berubah ialah peranan wanita yang mengandungkan anak di dalam rahimnya serta melahirkan anak-anak di dunia ini,” demikian kata Pn Janet K.L Chee, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna.

Mar 28, 2014

LIMBAHAU: “Banyak perkara yang mengubah dan telah menukar budaya kita. Tetapi satu hal yang tidak pernah berubah ialah peranan wanita yang mengandungkan anak di dalam rahimnya serta melahirkan anak-anak di dunia ini,” demikian kata Pn Janet K.L Chee, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna.

Pn Janet merupakan salah seorang penceramah dalam Seminar Para Wanita di Paroki Holy Rosary, Limbahau (HRL) pada Mac 22 lalu. Beliau menyampaikan sesi bertajuk “Wanita dipanggil untuk melayani, bukan sebagai hamba” kepada lebih 200 orang peserta.

Seminar tersebut dianjurkan oleh Sr Frances Mani FSCI dan Liga Wanita Katolik Paroki HRL.

Menurut Pn Janet, peranan wanita dalam membangun Gereja Katolik sangat besar sehingga Paus Fransiskus menekankan bahawa Gereja adalah bersifat “feminin” bukan ‘maskulin”.

“Maknanya, Gereja Katolik bersifat keibuan, lembut dan penyayang. Malah Bonda Gereja iaitu Perawan Maria telah memberikan contoh kewanitaan yang sangat hebat dan mengkagumkan,” ujar Pn Janet.

Pn Janet yang juga aktif dalam persatuan- persatuan amal mengatakan peranan wanita banyak disekat oleh budaya sesebuah masyarakat dan undang-undang di sesebuah negara.

“Ada di sesetengah tempat wanita dilayan dengan buruk, tidak ada hak bersuara malah peranan mereka sebagai ibu tidak dihargai atau diremehkan. Namun Gereja Katolik, melalui doktrin Mulieris Dignitatem mengiktiraf peranan wanita bahawa, “Saatnya akan datang, dan nyatanya sudah datang, di mana panggilan kaum wanita akan diakui kepenuhannya … kaum wanita, yang penuh dengan semangat Injil, dapat berbuat banyak untuk menolong manusia agar tidak jatuh”.

Dua lagi sesi dalam seminar tersebut disampaikan oleh Pn M. Liza. Beliau menyampaikan sesi “Tuhan Hendak Lahir dalam sebuah Keluarga manusia dan mahu mempunyai ibu bapa seperti kita” dan “Kprihatinan Wanita boleh memberikan dunia harapan dan nafas baru.”

Seminar Para Wanita itu diakhiri dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Aloysius Fidelis, Paderi Paroki HRL.

Total Comments:0

Name
Email
Comments