Wanita Katolik berjuang sebar Injil dan nilai-nilai mulia
Kerasulan Wanita Katolik (CWA) dengan kerjasama Pusat Kebajikan Gembala Baik (PKGS) telah mengendalikan seminar selama setengah hari bertema, “Catholic Women : Precious and Beloved” di Dewan St Mary pada Mac 16 lalu.
Apr 03, 2014
SANDAKAN (Herald Malaysia): Kerasulan Wanita Katolik (CWA) dengan kerjasama Pusat Kebajikan Gembala Baik (PKGS) telah mengendalikan seminar selama setengah hari bertema, “Catholic Women : Precious and Beloved” di Dewan St Mary pada Mac 16 lalu. Ia dihadiri oleh 150 wanita termasuk beberapa orang remaja perempuan.
Hari Wanita Sedunia dirayakan setiap Mac 8. Hari itu merupakan hari pengiktirafan bagi kaum wanita di atas peranan dan kejayaan mereka.
Selain itu, hari khusus itu juga adalah bagi mengenang kesukaran kaum wanita pada ketika dahulu serta peluang hak wanita yang lebih baik demi generasi akan datang.
Oleh itu, setiap wanita harus menyedari bahawa kewujudan mereka adalah penting bagi setiap aspek kehidupan.
Acara tersebut dimulakan selepas Misa Kudus manakala sesi-sesi dikendalikan oleh Sr Barbara Lip RGS dan Sr Appollonia Gumpu FSIC.
Dalam sesi pengenalannya, Sr Barbara menjelaskan tentang latar belakang Hari Wanita Sedunia yang diiktiraf oleh Persatuan Bangsa- Bangsa Bersatu pada tahun 1975 serta dirayakan setiap tahun iaitu pada Mac 8.
Beliau juga menegaskan bahawa hidup dan martabat wanita adalah sakral serta harus dihormati. Katanya wanita mempunyai hak asasi untuk hidup serta hak untuk menyumbangkan sesuatu demi kehidupan yang lebih baik.
Wanita bukan sahaja berjuang untuk membangunkan keamanan dan harmoni dalam keluarga tetapi seluruh manusia. Sr Barbara mengajak wanita untuk memainkan peranan penting dalam masyarakat dan Gereja tanpa mengabaikan tanggungjawab dalam keluarga.
Malah, kehadiran wanita dalam persekitaran domestik menjadi penyumbang penting dalam penyebaran iman serta mempromosi nilai-nilai moral yang baik.
Sebagai rumusan sesinya, Sr Barbara mengatakan bahawa wanita dan lelaki adalah satu di dalam Kristus. “Kita adalah anggota Tubuh Yesus yang dipanggil untuk melaksanakan misi dan hidup Gereja.”
Sesi tersebut diakhiri dengan lagu “You are the Queen, Mother of My Heart” yang dipersembahkan oleh para belia.
Total Comments:0